17 May, 2008

Ketuanan Melayu

pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad
blog: http://www.chedet.com/

Saya terkejut kerana ada yang berkata saya tidak pun tahu adanya http://www.chedet.com/. Saya tahu walaupun website itu disediakan oleh orang yang cekap dalam usaha ini, tetapi mereka membuat atas arahan saya.

Saya tulis sendiri segala yang terdapat di dalam blog ini. Saya juga tulis sendiri semua ucapan dan rencana yang saya sampaikan. Saya tak dapat baca semua komen terhadap blog saya. Tetapi saya cuba.

Saya realist yang pegang kepada kenyataan. Memang Melayu menjadi Tuan dalam Tanah Melayu dahulu. Tetapi kerana Melayu tidak berusaha melawan penjajah maka di zaman Tanah Melayu dijajah yang jadi “Tuan” dan yang dipanggil “Tuan” oleh orang Melayu sendiri ialah penjajah terutama British.

Kita boleh panggil diri kita “Tuan” tetapi jika kita terpaksa bergantung kepada orang lain dan kita menjadi kuli kepada mereka, memanggil diri kita Tuan tidak bermakna. Dalam 50 tahun kita merdeka, kuasa politik ada pada kita. Ini membolehkan kita panggil diri kita “Tuan”. Tetapi kita tidak Tuan sepenuhnya.

Kita boleh jadi Tuan dengan ertikata yang bermakna jika orang Melayu berkebolehan dan berjaya dalam bidang ekonomi dan sosial juga. Ini boleh dihasilkan jika kita sanggup tuntut ilmu dan segala kemahiran dizaman teknologi tinggi. Tetapi kita amat kurang berusaha kearah ini. Kita lebih suka cari jalan mudah. Biar sahaja orang bekal segala-galanya kepada kita.

Hari ini kuasa politik pun sudah terlepas dari tangan orang Melayu. Dan orang bukan Melayu tidak lagi menghormati orang Melayu dan institusi-institusi Melayu. Segala-gala yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu disoal dan dicabar. Dan orang Melayu tidak membuat apa-apa untuk menangkis semua ini dan mengukuhkan kedudukan mereka. Sebaliknya mereka meminta-minta orang tertentu mempertahankan kedudukan orang Melayu. Tetapi ini adalah usaha “passing the buck” kata Mat Salleh, termasuk alasan bahawa semua ini adalah kerana Dr Mahathir yang memerintah 22 tahun dan pilih Dato’ Seri Abdullah sebagai penggantinya.

Nasib orang Melayu ada ditangan orang Melayu. Kita tidak jadi “Tuan” dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi “Tuan” jika kita berani bertindak, kita sanggup menghadapi risiko, kita berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.

Penafian hakikat yang nyata dan benar tidak akan menghasilkan apa-apa. Hanya dengan mengakui kita mempunyai masalah yang besar dan kita bertindak untuk mengatasi masalah itu barulah dapat kita tebus balik maruah kita.

Ketika itu tanpa memanggil diri kita “Tuan” dunia akan iktiraf kita sebagai Tuan yang sebenar.

3 Comments:

Anonymous said...

SAYA ingin bersetuju dengan Tun Mahathir bahawa kita memproklamirkan 'Ketuanan Melayu' tanpa wujudnya perkara sebenar dalam realiti, ianya tidak bererti apa-apa.

Apa guna mengangkat keris dan dalam masa sama tunduk dan membukakan kembali SJKC Damasara, dan memberikan segala-gala tuntutan Dong Jia Zhong, MCA, Gerakan dan DAP.

Satu lagi fenomena menarik untuk dilihat dari segi sosial ialah:

Orang Melayu yang berjaya dan kaya diminati oleh mana-mana kaum untuk dijadikan pasangan. Lihatlah anak Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri, Kamaluddin dan Mirzan, mengahwini gadis Cina.

Ada tak gadis Cina yang meminati orang Melayu gelandangan?

Dulu sekitar tahun 50-an dan 60-an juga begitu ketika Melayu rata-rata lebih berada berbanding dengan kaum Cina. Mereka sanggup menyerahkan anak-anak mereka kepada keluarga Melayu untuk dijaga. Sekarang tidak lagi. Kerana mereka tahu Melayu memang menjaga anak-anak Cina dengan baik, seperti anak-anak mereka juga.

Nah, ini contoh ketuanan Melayu kerana orang Melayu ada ehsan menjaga, dengan penuh kasih sayang.

Begitulah juga sebagai pemimpin negara. Walaupun ada ketuanan Melayu tetapi mereka menjaga semua anak bangsa.


Aizam Ramli

Anonymous said...

setuju sangat dengan ajk pusat KPPM, Aizam.

mahu berkongsi cerita, saya ada seorang kawan dekat Bangi. usianya dah menjangkau 60an. saya sering bersarapan dengannya dan saya perasan menu favouritenya ialah mee kuning. beliau menikmatinya dengan lahap.

timbul andaian klise dalam kepala saya, jadi saya tanya, apakah beliau keturunan cina sebab orang cina tipikalnya suka makan mee.
meskipun andaian tadi klise, jawapan keluar dari mulutnya mengiyakan andaian saya. arwah bapanya cina, dipelihara oleh orang yang beliau panggil datuk dan nenek, keduanya melayu.

(ayahnya seorang cina dengan keluarga asalnya miskin sampai tidak dapat membesarkan anak jadi dititip pada keluarga melayu. keluarga melayu tadi membesarkannya dengan penuh kasih-sayang dan diberi pendidikan sempurna)

kawan saya tadi juga dapat dibesarkan dengan sempurna kerana ayahnya tidak miskin lagi seperti keluarga asalnya (cina) bertolak dari budi kasih sayang melayu yang membesarkannya.

kawan saya turut sama menikmati sedikit keistimewaan yang tinggal pada orang melayu meskipun beliau sah bukan keturunan melayu. melayu hanya melalui proses titip.

apa yang fakta, melayu menerimannya sebagai seorang melayu tanpa mempersoal apa-apa berkenaan latar belakangnya.
saya sendiri tidak pernah melihatnya seorang cina selepas rahsia disebalik kegemaran beliau makan mee tersingkap. persahabatan terus saja berjalan seperti biasa.

orang melayu seperti saya adalah tipikal, sangat sederhana dan mudah menerima. tidakkah itu ada hubungkait dengan falsafah hidup orang melayu? maksud saya spirit kemanusiaannya? spirit itu tinggi.

Anonymous said...

Cina atau India sebagai individu memang elok. Jiran-jiran saya, kiri kanan rumah terdiri dari Cina, sangat baik hati kepada kami sekeluarga.

Tetapi, dari segi politik, disebabkan sejarah imigran Cina mereka menjadi kelompok yang lebih banyak menuntut dari memberi.

Terbukti, apabila saja ada parti yang lebih sedia memberi asalkan boleh berkuasa pada nama seperti PAS dan PKR, berbanding parti UMNO yang berhati-hati, maka mereka kan memilih parti pemberi.

Mereka tidak mempunyai nostalgia parti berbanding UMNO. Kepada mereka, mencapai motif kehidupan keseluruhan lebih berfaedah berbanding dengan nostalgia ini.

Sebab itu bila MCA kurang mendapat tempat dalam PRU 12, kesatuan pendesak seperti DJZ tidak pun kedengaran berpecah, tetapi lebih kuat.

Husin Abu