13 May, 2008

Melayu Semakin Hilang Kuasa Politik

analisis Aizam Ramli

ANDAIKATA kerajaan sekarang tumbang kepada Parti Keadilan Rakyat atau kepada sekutunya, tidak mungkin mereka akan mendapat 2/3.

Jika kerajaan sekarang dikatakan lemah, kerajaan baru itu juga adalah lemah. Malah, mungkin lebih lemah daripada sekarang. Dalam 13 kerajaan negeri pula, hanya lima negeri sahaja yang ada dan jika hujah untuk menyatakan kerajaan sekarang diganti untuk membolehkan kestabilan, maka ianya jauh daripada tepat.

Anwar selalu bercakap (hanya bercakap!) mengenai demokrasi dan keadilan, tetapi apakah suatu langkah yang adil dengan usaha menumbangkan kerajaan secara haram - melalui kaedah yang bukan pilihan raya.

Malah, yang menjadi kuatir rakyat keseluruhan ialah kestabilan dan perpaduan dijangka menjadi kacau. Yang paling pasti Keadilan yang sudah dipenuhi dengan kaum berbangsa Cina akan mendominasi parti tajaan Anwar dan menentukan arah tuju negara, sedangkan majoriti kaum di negara ini ialah Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

Populasi kaum di negara ini berdasarkan nisbah 65:25:10 iaitu Melayu/Bumiputera 65 peratus, 25 peratus kaum Cina dan 10 peratus kaum India dan lain-lain. Dengan komposisi itu, jika kaum Melayu boleh berpuas hati dengan keadaan Cina menguasai politik (walaupun Anwar sebagai Perdana Menteri) dan tentunya menguasai ekonomi negara, maka yang tinggal kepada Melayu hanyalah peluh, keringat dan air mata darah.

Anwar berpengalaman meletakkan semua kroninya dalam media, seperti mana diletakkan Datuk Nazri Abdullah di Berita Harian, A Kadir Jassin d New Straits Times, Johan Jaafar di Utusan dan Khalid Ahmad d TV3, maka jika Anwar menjadi Perdana Menteri, media dijangka diperkudakan lebih hebat lagi untuk menyatakan beliaulah pembela Melayu, sedangkan parti itu sendiri dikuasai hampir sepenuhnya dengan kaum lain.

Jika Anwar berjaya merampas kerajaan secara haram daripada Barisan Nasional, walaupun dengan tidak sampai dua pertiga, tetapi beliau akan menguasai kerajaan dan semua agensi kerajaan. Dengan pengalaman rakusnya ketika menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri seperti menguasai media, maka tentulah tidak mustahil beliau akan melakukan lagi.

Bagi orang Melayu seperti tidak ada jalan keluar, melainkan perlu mengekalkan kerajaan sekarang dan memperkuatkannya.

Melayu sudah hilang kuasa ekonomi.

Melayu sudah hilang kuasa pendidikan. Dahulu orang Melayu/Bumiputera diberi biasiswa kerana Melayu tidak berupaya dari segi ekonomi dan tercatat dalam Perlembagaan persekutuan da;lam Perkara 153, tetapi kini biasiswa itu juga sudah diberikan kepada kaum lain yang dah berupaya dari segi ekonomi. Sedangkan mereka boleh membiayai tuisyen kepada anak-anak mereka, sedangkan orang Melayu tidak mendapat pendidikan yang baik. Mereka berjuang untuk dapatkan meritokrasi, maka dasar itu telah menguntungkan mereka.

Dan, Melayu akan hilang kuasa politik.

Semakin Melayu bergaduh akan ada pihak yang sedang tersenyum dan jika Melayu tidak mengambil kisah politik, tetapi hanya digerakkan emosi, maka masanya semakin hampir untuk Melayu hilang kuasa politik.



0 Comments: