12 June, 2008

Koordinasi Kementerian Tangani Kesan Kenaikan Harga Minyak*

Pandangan Awang Selamat dalam akhbar Utusan Malaysia pada 7 Mei boleh dianggap mewakili rintihan masyarakat bawahan dan sederhana ekoran kenaikan harga minyak yang diumumkan minggu lepas.

Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) bersetuju dengan gesaan beliau agar aspek penguatkuasaan dipertingkatkan dalam usaha kerajaan memastikan bahawa kesan kenaikan itu dirasakan tidak terlalu parah. Begitu juga dengan peranan menteri dari kementerian berkaitan supaya tidak hanya bercakap tetapi usahakan apa yang dikatakan.

Penelitian KPPM mendapati pada peringkat awal perisytiharan kenaikan harga minyak, kelihatan tidak ada sebarang koordinasi antara kementerian terbabit, misalnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pengangkutan dan sebagainya.

Kenaikan harga minyak dan tarif elektrik itu sudah pasti akan membawa kesan ekonomi dan kesan sosial yang berganda. Dalam anggaran KPPM, keupayaan kerajaan untuk menjimatkan sebanyak RM13 billion, yang seterusnya dikatakan akan digunakan untuk beberapa program berorientasi rakyat tidak berbaloi dengan kesan sosial yang mengikuti langkah kenaikan tersebut.

Sekadar menyebut beberapa contoh, antaranya peningkatan kadar jenayah pertengahan seperti kecurian dan pecah rumah. Negara pula perlu bersedia dengan kadar inflasi, yang akan membawa bersamanya kenaikan kadar pengangguran yang telah sedia tinggi sekarang ini.

Jika sekiranya penganggur berijazah sahaja telah mencecah 80 ribu, maka Negara perlu bersedia dengan senario apabila bilangan yang besar ini masuk mengganggu kerja di sektor yang lebih rendah, seterusnya mengganggu keseimbangan dalam sektor pekerjaan secara keseluruhan.

Apa yang begitu membimbangkan ialah pandangan bahawa kegawatan ekonomi tahun 1997 akan berulang apabila beberapa cirinya bergabung. Misalnya, penurunan nilai sebenar wang, kenaikan sebahagian besar harga barangan, gejala menyembunyikan barangan keperluan, kemerosotan kecairan wang di pasaran apabila rakyat lebih berjimat.

Sebagai contoh, kesan kepada sektor pembinaan misalnya dijangka amat besar apabila kos bahan- bahan binaan mula dinaikkan sehingga mencecah 45 hingga 50 peratus. Sektor ini perlu diberikan perhatian untuk mengelakkan situasi di mana hanya orang asing sahaja yang mampu membeli hartanah di Negara kita pada masa depan.

Kenaikan harga minyak akan menghasilkan rantaian kesan yang menakutkan. Dengan itu, ia mestilah melibatkan peranan kesemua kementerian dengan tahap keterlibatan tertentu. Dengan kata lain, ia seolah-olah menjadi satu gabungan besar dan padu kesemua kementerian dalam memerangi kesan kenaikan ini. Tidak boleh berlakunya salah faham, gejala saling menyalahkan serta tiada koordinasi antara kementerian terbabit.

Langkah terbaik ialah keperluan kepada penilaian semula kenaikan harga berkenaan. Sekiranya kebimbangan berasaskan spekulasi ketiadaan minyak di pasaran antarabangsa , kenyataan sebuah syarikat minyak bahawa kenaikan minyak disebabkan kebimbangan psikologikal perlu diberikan perhatian. Menurut kenyataan itu lagi, minyak dunia boleh bertahan sehingga tahun 2050. Kenyataan bahawa peruntukan subsidi minyak dialihkan kepada program pembangunan juga sangat umum dan kurang menyakinkan rakyat. Kecuali hujah bahawa Petronas perlu menggunakan semula keuntungan untuk pelaburan dan kerja-kerja mencarigali yang baru.

Dengan kata lain, gesaan supaya kerajaan menilai semula kenaikan harga minyak perlu diambil perhatian serius dalam mengurangkan kesan sosial kepada rakyat. Mungkin kerajaan tidak perlu memberikan subsidi dan rebat, tetapi dengan cara meminimakan kenaikan harga minyak.

UMAR ZAIN,
Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM)



*nota: Rencana dalam Utusan Malaysia 10 Mei 2008