29 April, 2010

CORETAN BUAT SEORANG SAHABAT PADA 29 APRIL

Sahabat,
ingin aku memanggil namamu guru,
namun engkau melarang dengan bersungguh,
tersisip di hatiku bahawa engkau lah guru segala guru,
kerna kau lah,
guru yang mengajar kehidupan bukan pelajaran.

Perjalananmu pada hari ini sahabat, 29 April
kau lakukan dengan berlenggang,
sedangkan aku di kejauhan kerisauan,
melihat ronamu begitu tenang,
aku pula yang tolong gelisah untukmu.

Perjalananmu hari ini sahabat,
sesungguhnya amat menentukan beberapa kehidupan,
(mungkin juga kehidupanmu sendiri),
mungkin ketenangan yang maha tenang kau perlukan,
namun di sudut kecil hatiku,
ku tahu kau sememangnya begitu.

Aku (kami) mengenalimu sekian lama,
sosialis dalam wajah nabi,
demokrat dalam wajah ustaz,
yang tidak berjubah berserban,
yang tidak berkhutbah berbayan.

tidak cukup patah kata untuk,
dinukilkan padamu sahabat,
namun kebanggaanku terlalu tinggi,
cuma untuk mengenalimu.

aku di kejauhan berdoa kesejahteraan untukmu
pada 29 April penuh sejarah ini..

umar zain,
29 April 2010.

KASSIM AHMAD

pandangan umar zain


KASSIM AHMAD tidak pernah saya temui secara peribadi. Namun buah fikirannya saya tekuni setelah saya membaca salah sebuah bukunya berjudul "Teori Sosial Islam" sewaktu di bangku tingkatan enam, jika tidak salah ingatan. Buku ini antara buku awal yang sedikit mencerahkan kefahaman terhadap sisi baru pemikiran Islam. Sekurang-kurangnya buku ini mendorong saya untuk mendalami lagi perkembangan tersebut, kali ini ke arah negara tetangga. Sebagaimana dimaklumi, para pemikir Islam Indonesia menyediakan pelbagai ramuan yang memperkayakan khazanah pemikiran samada ke arah pembaharuan atau sisi konservatifnya.

Bukan untuk memperkecilkan Kassim, tetapi bagi ukuran Indonesia, yang saya peroleh kemudiannya, pandangan-pandangan Kassim menjadi agak biasa dan tidak lah terlalu menggoncang tiang iman konservatif saya (pada masa itu). Untuk berlaku adil, pandangan-pandangan Kassim masih berada dalam lingkungan fikiran pembaharuan Islam.

Sekalipun begitu, ia tidak lah mengurangkan sedikit pun kehebatan Kassim di mata saya. Saya mengenali dari karya-karyanya serta dari pelbagai cerita, bahawa Kassim seorang yang memakai banyak topi. Kassim seorang presiden Parti Sosialis, sasterawan khususnya di bidang persajakan (ingat lagi "Sidang Roh"), serta seorang pemikir Islam pembaharuan. Saya yakin banyak lagi peranan Kassim yang belum terdedah kepada umum.

Maka apabila membaca buku baru beliau itu faham lah saya sedikit sebanyak mengapa Kassim menjadi seorang Kassim. Dari lingkungan tradisional di sebuah kampung di Kedah, Kassim menjalar ke Singapura seterusnya ke luar negara (United Kingdom). Pengembaraan fizikal beliau membawa bersama-samanya pengembaraan dan perkembangan pemikiran sekalipun sampai sekarang saya yakin Kassim masih lagi setia dengan perjuangan sosialis. Sekurang-kurangnya intipati pemikirannya masih lagi sosialis walaupun dalam bentuk jemaah alQuran mahupun perisytiharannya sebagai seorang anggota parti UMNO.

Dalam pengenalan kepada buku Kassim ini, Dr Mahathir menulis bahawa Kassim telah melalui fasa-fasa dalam kehidupannya sebagai seorang pemikir yang bermula dari aliran kiri, moderate seterusnya ke arah kanan. Ini juga satu sudut pandangan menarik sebagai sifatnya Dr Mahathir yang cuba memudahkan seseorang untuk memahami perkara yang kompleks sesimple mungkin. Tapi pastilah tidak semudah itu membaca fikiran Kassim.

Menarik diperhatikan perjalanan politik Kassim yang tidak terlalu cemerlang jika diukur dari aspek menang kalah sesebuah parti yang bertanding. Selaku sifatnya sebuah parti yang berasas 'keintelektualan', agak sukar bagi Parti Rakyat (PRM) pimpinan Kassim untuk memenangi hati rakyat Malaysia, khususnya Melayu yang lebih menyenangi feudal dan politik naungan. Terbukti parti komunis atau sosialis yang berjaya mendapat tempat di mana-mana negara lain merupakan parti yang berjaya membuka ideologi dan menyusun strategi untuk memikat massa, tidak jauh berbeza dengan parti bukan komunis dan bukan berbunyi intelek.

Mungkin juga kesan parti komunis Indonesia dan propaganda di pihak pemerintah pada masa itu (contohnya sewaktu kecil di Kelantan, saya masih ingat perbualan orang-orang tua yang mengatakan jika pangkah parti tanduk kerbau, dunia akan menghampiri kiamat) begitu berkesan di jiwa penduduk kampung sehingga mereka begitu alergik dengan bendera tanduk kerbau hitam berlatar merah.

Dalam hal ini, politik Kassim terlalu lurus. Hal ini diakui juga akhirnya dalam bentuk pengakuan bahawa beliau seorang idealis yang kurang memahami politik praktikal dan realiti (realpolitics). Sebagai seorang yang terpengaruh dengan teori sosialis di dalam kitab-kitab klasiknya (Kassim membaca hampir kesemua pandangan sosialis bermula ekstrim kiri hingga kanan) mungkin Kassim kurang berjaya dari aspek politik aplikasi. Politik aplikasi termasuklah nama lain kepada politik penggunaan wang, istilah dana politik dan sebagainya. Mungkin Kassim
'masih hairan' hubungkait pemberian gula dan kain pelikat dengan kemenangan PAS di Kelantan atau jalan penyelesaian pelabur MAIKA dengan sokongan pengundi India seterusnya membawa kemenangan kepada BN di Hulu Selangor baru-baru ini.

Kassim akhirnya secara rasmi memasuki UMNO. Mungkin inilah yang disifatkan Dr Mahathir sebagai peringkat akhir hayat politik seseorang - ke arah kanan. Bersalahan dengan kenyataan tersebut, Kassim sendiri di dalam buku itu mencatatkan bahawa terdapat cubaan-cubaan sewaktu pemerintahan Tun Razak, malah sewaktu pentadbiran Tun Mahathir untuk menyerapkan Parti Rakyat pimpinan Kassim ke dalam Barisan Nasional!

Namun disebabkan alasan yang tidak dinyatakan beliau, semua perancangan itu gagal. PRM menjadi PSRM akhirnya berpecah dan diserapkan ke dalam PKR di bawah pimpinan Syed Husin Ali, seorang sahabat baik Kassim. Saya tidak pasti apakah elok jika aliran sosialis masuk ke dalam BN, namun idea-idea Tun Razak dikatakan lebih condong kepada moderate sosialis). Mungkin Kassim ada peranannya di situ, siapa tahu.

Disebabkan tulisan ini tidak dibuat untuk menilai Kassim, maka elok lah ianya ditutup dengan kesimpulan sebegini: Kassim seorang yang hidupnya terlalu bewarna-warni. Beliau melampaui pemikiran seorang Melayu biasa dalam ukuran masa lampau mahu pun masa kini. Saya cemburu kepada kehidupannya.