19 June, 2010

PTPTN: BAKAL MUFLIS

Oleh Nuralam Akbar

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebuah agensi kerajaan yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, dijangka muflis tidak lama lagi.

Artikel ini belum bercadang mengemukakan analisis data statistik, cuma setakat ini membuat lontaran awal kerana PTPTN merupakan agensi yang begitu banyak memberi manfaat kepada kebanyakan pelajar, tidak kira Melayu, Cina, India atau Orang Asli yang relatifnya miskin.

Anak orang kaya mungkin tidak menerima budi PTPTN.

Artikel ini juga tidak bertujuan mengkritik PTPTN. Tetapi, bertujuan sebagai bahan renungan untuk kerajaan dan pelajar kerana PTPTN juga milik generasi akan datang. Nasib anak bangsa kita.

Ada beberapa sebab yang hampir tidak dapat dielakkan untuk PTPTN tidak lagi berkemampuan memberi pinjaman kepada anak-anak kita di universiti pada masa akan datang.

Pada hemat saya atas pembacaan dan pengamatan, mungkin saya salah, tiga sebab utama yang akan memufliskan PTPTN.

1. Dahulu PTPTN mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4 peratus kepada pelajar kerana nilai wang tidak statik. RM20,000 hari ini tidak sama nilainya dengan RM20,000 dalam 20 tahun akan datang. Sebagai sebuah perbadanan, PTPTN perlu emnjana duit sendiri untuk membayar gaji, sewa bangunan dan lain-lain perbelanjaan. Jika ada caj 4 peratus caj perkhidmatan pinjaman itu, bolehlah sedikit dibiayai perbelanjaan berkenaan. Malah, jika diandaikan PTPTN itu Bank Islam, apakah bank berkenaan tidak mengenakan sebarang caj atas perkhidmatan?

Atas desakan pelajar dan parti politik, kerajaan telah mengarahkan PTPTN untuk tidak lagi mengenakan caj perkhidmatan.

2. Mengikut berita yang disiarkan dari semasa ke semasa, kutipan balik PTPTN tidak selari dengan jumlah yang dikeluarkan. Di manakah PTPTN akan mendapatkan dana untuk terus memberi pinjaman? Dimaklumkan sekarang PTPTN meminjam dana dari KWSP yang juga turut mengenakan caj tertentu kepada PTPTN. Walaupun ianya seperti soft loan, tetapi KWSP juga bertanggungjawab terhadap dana berkenaan untuk dilaburkan pada tempat yang boleh mendatangkan keuntungan kepada pencarum. Soal kedua, sehingga bila dan sehingga berapa puluh bilion KWSP terpaksa memberi pinjaman kepada PTPTN? Sebaik sahaja KWSP memberhentikan pinjaman, maka akan bermulalah saat genting PTPTN untuk muflis.

3. Dasar kerajaan Datuk Seri Najib yang membiasiswakan pinjaman PTPTN jika mendapat kelas pertama, akan menyebabkan dana PTPTN semakin menjunam. Dasar ini, pada hemat saya, kurang bijak. Kenapa? Kajian pengesanan graduat mendapati pelajar kelas pertama mudah mendapat kerja berbanding dengan pelajar corot. Ini bermakna pelajar corot bukan sahaja tidak boleh membayar PTPTN, malah sedang bergelumang mencari kerja. Sedangkan, pelajar kelas pertama bukan sahaja mendapat kerja yang sesuai, gaji yang sesuai dengan kelayakan, tetapi tidak pula perlu membayar PTPTN. Jika dasar ini diteruskan, lambat laun PTPTN akan muflis.