17 May, 2008

Ketuanan Melayu

pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad
blog: http://www.chedet.com/

Saya terkejut kerana ada yang berkata saya tidak pun tahu adanya http://www.chedet.com/. Saya tahu walaupun website itu disediakan oleh orang yang cekap dalam usaha ini, tetapi mereka membuat atas arahan saya.

Saya tulis sendiri segala yang terdapat di dalam blog ini. Saya juga tulis sendiri semua ucapan dan rencana yang saya sampaikan. Saya tak dapat baca semua komen terhadap blog saya. Tetapi saya cuba.

Saya realist yang pegang kepada kenyataan. Memang Melayu menjadi Tuan dalam Tanah Melayu dahulu. Tetapi kerana Melayu tidak berusaha melawan penjajah maka di zaman Tanah Melayu dijajah yang jadi “Tuan” dan yang dipanggil “Tuan” oleh orang Melayu sendiri ialah penjajah terutama British.

Kita boleh panggil diri kita “Tuan” tetapi jika kita terpaksa bergantung kepada orang lain dan kita menjadi kuli kepada mereka, memanggil diri kita Tuan tidak bermakna. Dalam 50 tahun kita merdeka, kuasa politik ada pada kita. Ini membolehkan kita panggil diri kita “Tuan”. Tetapi kita tidak Tuan sepenuhnya.

Kita boleh jadi Tuan dengan ertikata yang bermakna jika orang Melayu berkebolehan dan berjaya dalam bidang ekonomi dan sosial juga. Ini boleh dihasilkan jika kita sanggup tuntut ilmu dan segala kemahiran dizaman teknologi tinggi. Tetapi kita amat kurang berusaha kearah ini. Kita lebih suka cari jalan mudah. Biar sahaja orang bekal segala-galanya kepada kita.

Hari ini kuasa politik pun sudah terlepas dari tangan orang Melayu. Dan orang bukan Melayu tidak lagi menghormati orang Melayu dan institusi-institusi Melayu. Segala-gala yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu disoal dan dicabar. Dan orang Melayu tidak membuat apa-apa untuk menangkis semua ini dan mengukuhkan kedudukan mereka. Sebaliknya mereka meminta-minta orang tertentu mempertahankan kedudukan orang Melayu. Tetapi ini adalah usaha “passing the buck” kata Mat Salleh, termasuk alasan bahawa semua ini adalah kerana Dr Mahathir yang memerintah 22 tahun dan pilih Dato’ Seri Abdullah sebagai penggantinya.

Nasib orang Melayu ada ditangan orang Melayu. Kita tidak jadi “Tuan” dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi “Tuan” jika kita berani bertindak, kita sanggup menghadapi risiko, kita berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.

Penafian hakikat yang nyata dan benar tidak akan menghasilkan apa-apa. Hanya dengan mengakui kita mempunyai masalah yang besar dan kita bertindak untuk mengatasi masalah itu barulah dapat kita tebus balik maruah kita.

Ketika itu tanpa memanggil diri kita “Tuan” dunia akan iktiraf kita sebagai Tuan yang sebenar.

14 May, 2008

A Presence of Thanks Towards KPPM

Salam to all, especially my fellow thinkers whom has given me the opportunity to verse my thoughts in relation to current topic's at hand. Prior to this I would want to put forth, a humble statement which goes, if I had a land and that land is all I had, and all the people of that land is, of a like to me, than why provoke each other to only make lost of such land that was so scarce to obtain. The beginning of Azid in KPPM starts here.

13 May, 2008

13 Mei 08

Hari ini keramat tarikhnya
selepas mesyuarat pada satu sidang
aku terkenang Razak..
aku terkenang Tunku yang bersedih

Memang kita belum mengerti apa-apa
kerana ubun kita belum lagi keras
pada 13 mei

tapi roh moyang terasa masuk kembali ke badan
kesombongan mereka merajalela
andainya cucu si pitung masih ada
pasti jiwanya menggelupur
melihat kesabaran kita yang terlalu

Jangan bercakap tentang arwahnya Hj Mat Hassan
jika melihat anak-anak muda pasca merdeka
menjunjung 'keadilan', meritokrasi dan kesamarataan
pada sebuah pusaka luhur
apa agaknya katanya?

ini anak muda yang makan di tangan
belum apa-apa sudah sanggup serahkan,
kerna terpesona dengan gagasan muluk
-masyarakat sivil-semuanya sama

mereka tidak sedar,
di belakang mereka pencipta gagasan sedang bersorai
merayakan kemenangan,
sebuah lagi negara bakal jatuh ke dalam genggaman kita

13 mei perlu pengertian baru
jika tidak pun kekerasan dihunjam,
darah tidak lagi perlu mengalir,
tetapi keringat perlu basah
mungkin tanpa air mata
tanpa luka hati
tetapi anak bangsa ini perlu difahamkan

bumi bertuah ini mestilah sentiasa jadi hak mereka
dengan segala aset dan ekuitinya
mereka perlu bijaksana
memilih rakan dan pemimpin
yang mahu bertegas-
aku lah penjaga pintumu dari semua penceroboh.

13 mei
akan kah jadi permulaan
penyedaran semula.

umar zain,
13 mei 2008.
deng

Dasar Pendidikan Mahathir yang Menjatuhkan Melayu

analisis Aizam Ramli

BANYAK dasar Dr Mahathir yang merosakkan masa depan orang Melayu. Perkataan banyak itu bukan generalisasi kerana melalui dasarnya itulah yang meruntuhkan Melayu hari ini.

Dr Mahathir telah menidakkan Perlembagaan, Perkara 153.

1. Dasar Meritokrasi.

Melalui dasar yang diperkenalkan pada 2002 ini, Dr Mahathir ternyata melayan kehendak kaum lain, kerana dasar ini tidak sedikitpun menguntungkan Melayu yang memang daif. Dasar ini telah menyebabkan universiti awam khususnya di Fakulti Perubatan dan Kejuruteraan dipenuhi dengan kaum lain. Dasar kuota untuk kemasukan ke universiti telah terlalu elok yang dibuat berdasarkan populasi kaum ketika zaman Tun Razak.

2. Dasar Kemasukan 10 peratus kaum lain ke MRSM/Sekolah Berasrama Penuh/Matrikulasi

Perlembagaan dengan jelas memperuntukkan keistemewaan khusus kepada kaum Melayu dan ini diperuntukkan kerana pengorbanan orang Melayu melalui kontrak sosial yang diberikan. Mahathir seolah-olah melupakan hal ini. Melalui cara ini, pelajar Cina menguasai hampir semua matrikulasi di seluruh negara. Tanyalah anak-anak yang belajar di Kolej Matrikulasi, golongan manakah yang mendapat CGPA 4.000 yang melayakkan mereka memilih kursus perubatan?

Bukan orang melayu tidak pandai, tetapi kerana rata-rata cacat dari segi kewangan menyebabkan mereka tidak boleh memberikan tuisyen kepada anak-anak, sedangkan kaum lain mampu.

Statistik kuasa beli orang Melayu hanya sekitar RM1500, sedangkan kaum Cina sudah mencecah RM4,000.

Dengan kecacatan yang belum pulih itu, semangat Perlembagaan itu perlu dipertahankan. dalam permainan golf, handicap itu diambil kira untuk memberikan permainan yang adil.

3. Biasiswa/PTPTN tidak lagi khusus kepada Melayu

Pada zaman Dr Mahathirlah, PTPTN diperkenalkan dan tidak lagi diberikan secara ekslusif kepada orang melayu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.

4. Sekolah Cina dan India tumbuh setiap tahun.

Tidak ada negara dalam dunia hari ini yang memberikan sekolah-sekolah menggunakan bahasa pengantar mengikut kaumnya. Sekolah dijadikan tempat untuk mengasimilasi kaum kepada satu bangsa, seperti berlaku di Thailand, Indonesia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Malah, seperti di Indonesia dan Thailand, nama diri mereka juga perlu mengikut nama yang menggambarkan negara mereka. Di Malaysia dan dipersuburkan oleh Mahathir, nama-nama mengikut kaum kekal.

5. Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik.

Mujurlah tidak ada orang Melayu yang mahu menyaman kerajaan berhubung isu ini, kerana penggunaan bahasa Inggeris kepada Sains dan Matematik menjadikan hampir semua subjek di sesetengah sekolah seperti Matrikulasi, mengajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Sedangkan, dalam Akta Pendidikan itu sendiri di nyatakan dengan jelas medium pengajaran ialah Bahasa Malaysia. Kini peratusan penggunaan bahasa Inggeris sudah melebihi 50 peratus, yang menyebabkan dasar ini bercanggah dengan akta.

6. Gagal menyatukan anak-anak Malaysia ke Sekolah Kebangsaan.

Kaum Cina semakin cenderung ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Orang India juga mendesak setiap masa sekoalh jenis kebangsaan India dan orang Melayu juga ada juga memilih Sekolah agama rakyat. Majoriti orang melayu di Sekolah Kebangsaan. Jurang antara kaum yang dipisahkan melalaui sekolah kerana kurangnya interaksi, maka jauhlah sekali perpaduan antara kaum akan tercapai. Yang ada penyatuan ali-baba. Melayu untung 10 peratus. Cina untung 90 peratus.


Melayu Semakin Hilang Kuasa Politik

analisis Aizam Ramli

ANDAIKATA kerajaan sekarang tumbang kepada Parti Keadilan Rakyat atau kepada sekutunya, tidak mungkin mereka akan mendapat 2/3.

Jika kerajaan sekarang dikatakan lemah, kerajaan baru itu juga adalah lemah. Malah, mungkin lebih lemah daripada sekarang. Dalam 13 kerajaan negeri pula, hanya lima negeri sahaja yang ada dan jika hujah untuk menyatakan kerajaan sekarang diganti untuk membolehkan kestabilan, maka ianya jauh daripada tepat.

Anwar selalu bercakap (hanya bercakap!) mengenai demokrasi dan keadilan, tetapi apakah suatu langkah yang adil dengan usaha menumbangkan kerajaan secara haram - melalui kaedah yang bukan pilihan raya.

Malah, yang menjadi kuatir rakyat keseluruhan ialah kestabilan dan perpaduan dijangka menjadi kacau. Yang paling pasti Keadilan yang sudah dipenuhi dengan kaum berbangsa Cina akan mendominasi parti tajaan Anwar dan menentukan arah tuju negara, sedangkan majoriti kaum di negara ini ialah Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

Populasi kaum di negara ini berdasarkan nisbah 65:25:10 iaitu Melayu/Bumiputera 65 peratus, 25 peratus kaum Cina dan 10 peratus kaum India dan lain-lain. Dengan komposisi itu, jika kaum Melayu boleh berpuas hati dengan keadaan Cina menguasai politik (walaupun Anwar sebagai Perdana Menteri) dan tentunya menguasai ekonomi negara, maka yang tinggal kepada Melayu hanyalah peluh, keringat dan air mata darah.

Anwar berpengalaman meletakkan semua kroninya dalam media, seperti mana diletakkan Datuk Nazri Abdullah di Berita Harian, A Kadir Jassin d New Straits Times, Johan Jaafar di Utusan dan Khalid Ahmad d TV3, maka jika Anwar menjadi Perdana Menteri, media dijangka diperkudakan lebih hebat lagi untuk menyatakan beliaulah pembela Melayu, sedangkan parti itu sendiri dikuasai hampir sepenuhnya dengan kaum lain.

Jika Anwar berjaya merampas kerajaan secara haram daripada Barisan Nasional, walaupun dengan tidak sampai dua pertiga, tetapi beliau akan menguasai kerajaan dan semua agensi kerajaan. Dengan pengalaman rakusnya ketika menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri seperti menguasai media, maka tentulah tidak mustahil beliau akan melakukan lagi.

Bagi orang Melayu seperti tidak ada jalan keluar, melainkan perlu mengekalkan kerajaan sekarang dan memperkuatkannya.

Melayu sudah hilang kuasa ekonomi.

Melayu sudah hilang kuasa pendidikan. Dahulu orang Melayu/Bumiputera diberi biasiswa kerana Melayu tidak berupaya dari segi ekonomi dan tercatat dalam Perlembagaan persekutuan da;lam Perkara 153, tetapi kini biasiswa itu juga sudah diberikan kepada kaum lain yang dah berupaya dari segi ekonomi. Sedangkan mereka boleh membiayai tuisyen kepada anak-anak mereka, sedangkan orang Melayu tidak mendapat pendidikan yang baik. Mereka berjuang untuk dapatkan meritokrasi, maka dasar itu telah menguntungkan mereka.

Dan, Melayu akan hilang kuasa politik.

Semakin Melayu bergaduh akan ada pihak yang sedang tersenyum dan jika Melayu tidak mengambil kisah politik, tetapi hanya digerakkan emosi, maka masanya semakin hampir untuk Melayu hilang kuasa politik.



Tun Mahathir dan Tugas Seorang Negarawan

pandangan Umar Zain

Selama 22 tahun, saya membesar pada era Mahathir. Sehingga ke usia boleh berfikir politik, saya memuji Mahathir. Pujian yang sungguh-sungguh. Meminatinya dengan memerhatikan setiap pandangan dan tuturnya. Ideanya berkenaan bangsa Melayu, dan wawasannya dirasakan begitu berkesan. Tidak dilupakan jasa-jasanya yang banyak kepada negara Malaysia.

Lanskap Malaysia ditukar dari rupa pertanian kepada industri. Sampai sekarang saya dan kawan-kawan selalu mengakui-tanpa Mahathir Putrajaya, KLIA, Menara Petronas dan berderet-deret lagi jasanya yang tak terhitung tidak mungkin wujud.

Saya selalunya beremosi. Bukan sahaja Rafidah Aziz yang menangis sewaktu pengumuman persaraan Mahathir dari persada politik dan kepimpinan negara.Saya turut menangis.Semacam tak percaya bahawa Mahathir yang begitu bijaksana dan berlimpah jasanya akan turun takhta pentadbiran.

Walaupun begitu, menyedari bahawa asas politik berteraskan UMNO telah kukuh, serta asas kepada perkembangan ekonomi negara berada di landasan kukuh untuk diteruskan penggantinya, maka kebimbangan itu tidak lah besar.

Episod seterusnya, bunga-bunga kritikan Mahathir kepada penggantinya mula tercetus namun tidak begitu melarat. Sekalipun bimbang dengan permulaan ini, saya menyedapkan hati bahawa Mahathir bukanlah 'Mahathir' tanpa komen-komennya yang pedas sejak zaman 'Malay Dilemma' terbit. Hal ini diyakini tidak merosakkan negara.

Rupa-rupanya hal ini berterusan. Sehingga ke hari ini, Tun Mahathir masih belum berhenti mengkritik pentadbiran Pak Lah. Malah lebih hebat daripada sebelumnya. Terbaru Mahathir melancarkan blognya, chedet.com yang kelihatan pada posting-postingnya khusus untuk mengkritik dan mengecam pentadbiran kerajaan semasa.

Hal ini memang pada awalnya menimbulkan kesulitan yang bukan sedikit kepada saya dan teman-teman untuk mengambil sikap dan pendirian. Antara soalan awal yang kami pertanyakan apabila Mahathir mengkritik pembatalan jambatan bengkok ialah; Apakah kritikan itu sebagai sebahagian 'tugas'nya sebagai seorang negarawan ataupun ada idea-idea tersirat yang lain.

Dari jambatan bengkok, kritikan Mahathir menjangkau kepada projek-projek utama kerajaan yang lain. Hampir kesemua keputusan kerajaan dipersoalkan. Kemudiannya, bermulalah serangan yang lebih bersifat peribadi kepada kepimpinan kerajaan yang baru. Istilah tingkat empat dan Patrick Badawi muncul di benak rakyat Malaysia.

Selepas anaknya, Mukhriz terlibat dalam pemilihan UMNO di bahagian Kubang Pasu seterusnya di peringkat Pemuda UMNO, nampak sedikit sebanyak kritikan Mahathir ada kaitan dengan proses promosi Mukhriz untuk melobi jawatan-jawatan tersebut.

Sejak itu, saya menilai kembali Mahathir sebagai seorang yang memegang status negarawan. Mahathir tidak boleh marah kepada saya akibat penilaian semula ini. Mahathir yang mengajar bahawa kritikan perlu sekalipun kepada apa saja.

Kepada saya, negarawan di negara kita statusnya di bawah sedikit daripada kedudukan Yang Dipertuan Agung dan Raja-raja Melayu. Seorang negarawan adalah seorang yang amat dihormati kerana jasanya yang telah dibuat, ketokohan dan karismanya. Lebih penting, saya menilai seorang negarawan dari idea-idea yang diberikannya kepada negara untuk melengkapkan lagi pembangunannya. Saya juga bersetuju dengan idea bahawa negarawan bukanlah seorang yang duduk diam-diam selepas memberikan servisnya kepada negara bertahun-tahun sehinggalah 'bersara'. Negarawan masih berperanan kepada negara. Tapi peranan Mahathir sekarang perlu dinilai semula keberkesanannya.


Kepada saya, Mahathir melengkapi kriteria negarawan kerana jasa, karisma dan ketokohannya. Sampai sekarang, saya memuji Mahathir kerana kepetahannya berhujah. Tetapi, idea-idea Mahathir sekarang membawa keruntuhan. Keruntuhan kepada parti, mungkin juga selepas ini keruntuhan negara.

Idea-idea Mahathir berkenaan Perdana Menteri dan UMNO ternyata meruntuhkan. Mahathir tidak mengakuinya (dalam laman chedet.com) kerana menganggap ideanya untuk membina sebuah kerajaan dan pemerintahan yang kuat.

Mahathir ada saham dalam kemerosotan prestasi BN dalam PRU 12. Mahathir setelah menyedari pengaruhnya yang besar terhadap pemikiran rakyat Malaysia, menggunakan sebaik-baiknya dalam serangan peribadinya terhadap Perdana Menteri. PM lemah, 'saya silap memilih Abdullah', 'Abdullah PM satu penggal' menjadi modal utama pembangkang. Video dan rakaman kritikan Mahathir menjadi bahan kempen pembangkang.

Kini, saya menilai kembali peranan Mahathir. Saya menarik balik, mungkin untuk sementara gelaran 'negarawan' terhadap Mahathir. Penarikan ini boleh jadi sementara atau kekal bergantung kepada tindakan Mahathir selepas ini. Saya berhak menariknya, sebagaimana hati saya secara 'natural' telah melantiknya sebagai negarawan sewaktu air mata saya menitik semasa menyaksikan ucapan penangguhan perhimpunan agung UMNO dulu.

Selain itu, saya masih berharap Mahathir akan menjalankan semula peranan negarawan yang sepatutnya dimainkan oleh beliau sesuai dengan pengiktirafan dunia terhadap jasa dan idea-idea beliau dahulu.

Saya mengharap Mahathir akan lebih berfikir keluar. Maksudnya keluar dari dirinya dan kepentingan dirinya jika ada. Keluar dari kepentingan Mukhriz, Mokhzani, perniagaan keluarga dan sebagainya. Mahathir perlu bercakap semula dengan lebih giat isu-isu dunia. Isu ketidakadilan Amerika, isu Zionis yang sekarang masih ketiadaan heronya.

Mahathir boleh bercakap isu dalam negara. Tetapi bukan sebagai orang yang berpihak. Seperti YDP Agung, Mahathir boleh memberi nasihat dan menyentuh isu politik, sosial dan ekonomi negara secara tidak merujuk kepada keperpihakannya kepada mana-mana team. Malah, tidak sesuai sebagai negarawan Mahathir mengecam pembangkang, apatah lagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Mahathir bukan setaraf dengan Joseph Estrada, bekas presiden Filipina yang terus mengganggu Arroyyo kerana hendakkan semula jawatan Presiden. Mahathir juga pasti sedar bagaimana kritikan berterusan bekas Presiden USA yang berkarisma, Roosevelt terhadap Presiden Taft, di mana parti beliau hanya tinggal dua kerusi sahaja.

Alangkah hampanya saya apabila Mahathir melanggar syarat utama negarawan. Mahathir menjadi rendah di mata saya, sebab saya yakin Mahathir akan menjadi lebih 'besar' dan lebih dihormati sekiranya dia melihat keluar dirinya.

Apapun semuanya terserah kepada Mahathir. Mahathir sesungguhnya telah membuat pilihan, begitu juga saya telah pun membuat pilihan-menggantung status negarawan yang pernah saya kalungkan dengan sepenuh kasih sayang saya kepadanya.

12 May, 2008

Salam

Salam buat semua anak Malaysia. Kepada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Siam dll. Kepada mana-mana penganut agama - Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dll serta turut tidak lupa pada yang masih belum beragama. Semua tanpa berkecuali dialu-alukan untuk membaca, memikir dan berkongsi perbincangan di sini.