05 July, 2010

SOKONGAN CINA: JIKA GAGAL PUJUK, GUNA CAMETI

Oleh Kori Ariff
Ahli KPPM

PILIHAN RAYA Umum 2008 dan siri beberapa pilihan raya kecil seperti di Hulu Selangor dan Sibu baru-baru ini menyaksikan salah satu sebab kekalahan Barisan Nasional (BN) ialah kaum Cina memberi satu isyarat dengan merotan BN khususnya parti komponen MCA dan Gerakan agar mereka tidak sesekali bersekongkol dengan "kuasa" UMNO.

Sama ada betul atau tidak persekongkolan itu telah berlaku belum ada kepastian dalam realiti, cuma persepsi telah disebarkan sebegitu rupa melalui pelbagai saluran seperti media berbahasa Cina, internet malah melalui ceramah atau kempen politik yang diketuai oleh DAP dan kaum Cina dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimana modus operandi pembaraan benih kebencian supaya percikan sentiasa menyalakan rasa kebencian dalam diri kebanyakan kaum Cina kepada BN/UMNO/Orang Melayu?

Orang Melayu khususnya di kalangan pemimpin dipersepsikan sebagai mahu mewujudkan ketuanan Melayu dengan definisi menghambakan kaum lain seperti Hitler menggunakan konsep ketuanan orang Jerman dalam menindas kaum minoriti, orang Yahudi (dalam konsep ini dikatakan Melayu akan sentiasa berusaha menghapuskan kaum minoriti Cina).

Persepsi ini walaupun tidak benar dalam realiti tetapi secara berterusan ditanam agar orang Cina mestilah sentiasa berwaspada kepada orang Melayu, khususnya kepada UMNO terutama jika mereka dalam keadaan kuat, iaitu ketika kaum Melayu bersatu.

Semakin berpecah orang Melayu kepada PAS dan PKR, semakin lemahlah UMNO, semakin kurang kuatnya dalam Barisan Nasional, maka semakin baik kedudukan orang Cina dalam negara ini, terutamanya dalam segi kelulusan terhadap beberapa desakannya (seperti tergambar dalam tuntutan Suqiu dalam Pilihan Raya Umum 1999).

Sedangkan konsep ketuanan Melayu kepada kepada kebanyakan orang Melayu ialah Raja Melayu. Sesiapa sahaja yang mahu menjadi warga negara ini perlu menghormati Raja Melayu, seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Jika ada orang Cina atau orang Melayu tidak mahu menerima konsep ketuanan Melayu iaitu menghormati Raja Melayu seperti juga Raja Berperlembagaan, maka tidak sewajarnya mereka memilih untuk menjadi rakyat negara ini.

Yang diwar-warkan terutama dalam usaha mempropagandakan isu ini, adalah dengan mengaitkan UMNO atau badan kerajaan lain seperti Biro Tatanegara (BTN) sebagai pihak yang mahu merealitikan ketuanan Melayu dalam ertikata Hitler menindas kaum minoriti.

Sesetengah pemimpin UMNO yang sudah `dibeli’ oleh kumpulan ini, akan dengan sengaja membuat kenyataan beretorik ‘Keris Melayu’, Melayu mesti menjadi Tuan dan secara tanpa sedar mengiyakan jarum propaganda ini – orang Cina menjadi semakin marah dengan UMNO, marah dengan pemimpin Melayu.

Sama juga dengan laungan DEB (Dasar Ekonomi Baru).

Kaum Cina rata-rata menganggap DEB untuk menjayakan konsep ketuanan Melayu di negara ini, walaupun idea Tun Razak untuk memulihkan keadaan ekonomi yang sangat berasaskan kaum, sehingga jika dibiarkan akan berulangnya trajedi 13 Mei.

Ramai juga di kalangan pemimpin Melayu dan badan bukan kerajaan seperti Perkasa anjuran Datuk Ibrahim Ali terbawa-bawa dengan laungan DEB, sedangkan DEB sudahpun tamat pada 1990 dan diganti dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan kini Model Ekonomi Baru (MEB) seperti tergambar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang perlu diperjuangan sekarang bukannya DEB tetapi ketidakseimbangan ekonomi dalam negara terutama di kalangan kaum India dan Melayu, yang jika diukur melalui pendapatan perkapita menunjukkan begitu jauh jurang perbezaan dengan kaum Cina.

Selain itu, turut menjadi pemangkin pemanas kepada kebencian orang Cina kepada kerajaan adalah dengan meracuni fikiran kaumnya bahawa kerajaan tidak memberi layanan yang adil kepada sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Selalu diceritakan dalam Dewan Rakyat, blog dan media berbahasa Cina betapa kerajaan hanya memberi dana kepada sekolah kebangsaan supaya orang Cina berpindah ke sekolah kebangsaan. Dalam masa sama, mereka berusaha menanam dalam diri setiap kaum Cina betapa SRJKC seperti tokong, yang tak boleh diusik sesiapa.

NGO kaum Cina seperti Dong Jia Zhong atau Dewan Perniagaan Cina terus dinobatkan sebagai pejuang utama kaum Cina seolah-olah mewakili Tuhan bagi melindungi kepentingan kaum Cina di negara ini. Oleh sebab digambarkan sebagai seolah-olah Tuhan, maka MCA, Gerakan, PKR dan DAP tidak sekali-kali berani mengkritik pertubuhan ini.

Demikian juga kerana pertubuhan ini begitu negatif kepada UMNO, maka MCA/Gerakan/PKR/DAP turut sama tidak mahu bersekongkol dengan UMNO atau kelihatan bersahabat dengan UMNO.

Walaupun ada pelbagai sebab lain boleh dikemukakan, namun yang menarik untuk dicari idea adalah bagaimana untuk memungkinkan orang Cina sekurang-kurangnya pada tahap 55 peratus menyokong Barisan Nasional.

· Pendekatan `memberi’ kelihatan tidak lagi berkesan. Beri sekolah. Beri dana baiki sekolah. Layan segala permintaan tidak menjanjikan persahabatan, malah digigitnya seperti terpancar di sibu, Hulu Selangor dan Pilihan Raya 2008. Sekolah Cina dilayan dengan peruntukan. Peperiksaan yang menggunakan penilaian sendiri dan dikendalikan dalam bahasa mandarin, UEC semakin diiktiraf. Dalam pilihan raya 1999 ketika kegawatan politik, dan MCA/Gerakan menyatakan merekalah penyumbang kepada kemenangan BN, lalu diminta lebih jawatan Menteri dan kalau boleh Timbalan Perdana Menteri di kalangan mereka, Dr Mahathir ketika itu bukan sahaja tidak melayan permintaan itu, malah melantik lebih ramai menteri Kabinet di kalangan orang Melayu.

· Di negeri yang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, kebanyakan orang Cina tidaklah terlalu fanatik kepada SRJKC. Mereka bergaul dengan orang Melayu. Bersahabat. Menghormati antara satu sama lain. Malah, jika sejarah dilihat lebih awal ketika orang Cina miskin dan orang Melayu lebih dalam keadaan berada, banyak anak-anak Cina diserahkan kepada ibu bapa Melayu untuk menjaganya. Dan, orang Melayu menjaga seperti anak kandung sendiri. Dua inferen boleh dilihat. Satunya, orang Melayu mesti majoriti dalam sesuatu geografi. Kedua, orang Melayu mesti kaya. Dalam hal kedua itu, kita boleh saksikan sesetengah korporat seperti anak Tun Dr Mahathir, Mirzan berkahwin dengan orang Cina. Apakah ada gadis Cina yang memilih lelaki Melayu miskin?

· Dalam tradisi Islam awal di Kota Makkah, kaum Muslimim lebih dekat persahabatan dengan kaum Nasrani, berbanding dengan kaum Yahudi. Sejarah mencatatkan kaum Yahudi merupakan kaum yang merdeka dari segi harta. Mereka sudah kaya. Orang kaya tidak mahu berkawan dengan orang miskin. Jika sejarah ini mahu diambil iktibar, maka kaum Melayu mesti berusaha untuk bersama-sama dengan kaum India yang merupakan dua kumpulan etnik yang miskin. Dalam sejarah sembilan Sekolah Wawasan iaitu gabungan sekolah kebangsaan, Cina dan India, hanya satu sahaja sekolah Cina yang mahu bergabung. Namun, sekolah Tamil bersetuju untuk bergabung. Langkah politik perlu dilaksanakan untuk menjayakan hasrat ini, jika mahu.

· Pergantungan. Bagaimana untuk memungkinkan kaum Cina bergantung harap dengan kaum Melayu/pemimpin Melayu terutama dalam bidang ekonomi. Yang berlaku kini kebanyakan pemimpin Melayu UMNO (dan PAS juga) bergantung dengan dana orang Cina untuk sesuatu perniagaan. Ali mendapat kontrak, baba memberi komisen kepada Ali. Oleh itu, tokoh yang boleh menjayakan hasrat ini ialah Tun Daim Zainuddin. Jika ada 50 lagi Tun Daim dalam negara ini, maka barangkali tauke Cina tidaklah lagi begitu angkuh.

· Penjinak kuda menggunakan strategi gosok belakang, pujuk dan bermanja dengan kuda agar kuda itu jinak. Namun, penjaga kuda yang arif akan menggunakan cameti, jika kuda tidak juga jinak walaupun digosok pada kaki, pipi dan belakangnya. Ini bermakna, jika pujuk dan rayu sudah tidak berkesan, maka cameti perlu digunakan. Lee Kuan Yew di Singapura banyak kali menggunakan kaedah ini dalam pentadbirannya.