12 May, 2010

Menulis Berita Piala Dunia

oleh Haidi Mohamad

Tahun itu tahun 1974, 7 Julai. Belanda tewas kepada Jerman. Perlawanan akhir penuh dramatik dengan keindahan ‘Total Football’ bolasepak Belanda, Johan Cruyff dan kekuatan Jerman, Franz Beckenbauer.

Fesyen rambut sama ada di atas padang atau di kerusi penonton majoritinya rock. Jauh sekali kemas, ia dibiarkan saja lepas-bebas ditiup arah mana angin datang. Manakala bentuk susuk mereka yang sedang berlari mengejar bola nampak lebih atletik, lebih ringan berbanding sekarang. Mungkin amalan keras untuk membina otot-otot tidak seseketara sekarang.

Kepada sesiapa yang berminat menyaksikan kembali perlawanan itu boleh saja menonton melalui tube-tube popular di internet atau saluran TV berbayar. TV ini mengambil peluang memungut wang daripada sebahagian kelompok masyarakat yang masih tidak tahu tayangan itu boleh diperolehi secara percuma.

Sebaik selesai perlawanan dan selesai pasukan Jerman meraikan kemenangan, ada sekelompok manusia yang masih khusuk bekerja dengan setiap seorang daripadanya sedang mengadap sebuah mesin.

Mesin itu ialah mesin taip. Kelompok manusia tadi ialah wartawan.

( Hari ini pertanyaan, “mesin taip itu apa ayah?”, boleh saja muncul daripada seorang anak berusia 7 tahun. Manakala menjadi seorang wartawan bukan satu impian yang popular di sini)

Mereka sedang mengetuk hurur-huruf untuk menghasilkan berita tentang perlawanan tadi, atau sedang menaip analisis perlawanan (melibatkan pemikiran). Berita itu kemudiannya akan dicetak dan menjadi akhbar. Sebaik menjadi akhbar, satu kitaran kerja dikira selesai.

Sebelum tarikh haribulan bertukar, pada dekad itu kandungan berita itu tidak dapat dibaca oleh masyarakat pembaca. Bila fajar pagi terbit, baharulah ia boleh dibaca.

Dengan munculnya hari yang baru – bermula dengan pagi baru menggantikan pagi semalam, maklumat dan analisis pemikiran juga mengambil tempat sama. Pada pagi 8 Julai 1974, berita kekalahan Belanda dan kemenangan Jerman terpampang-pampang di dada akhbar. Analisis-analisis kenapa kemenangan berpihak kepada Jerman dan kenapa pula kekalahan menjadi milik Belanda mengetuk kapasiti intelek masyarakat pembaca.

Tidak sampai 30 hari dari sekarang, Piala Dunia akan kembali mewarna kehidupan. Penduduk dunia akan memusatkan perhatian mereka ke Afrika Selatan. Berita politik, berita ekonomi, berita perang malah mungkin kata kunci ‘seks’ di enjin carian google akan berada di belakang kata kunci ‘World Cup’ atau apa-apa perkataan yang berkaitan dengan bolasepak.

Seperti di tahun 1974, fungsi wartawan tidak berubah. Mereka akan merakam visual perlawanan, menulis berita tentangnya dan membina analisis. Perkara yang berubah ialah bukan lagi mesin taip yang akan mencetak huruf-huruf di kertas. Bunyi ketukan mesin taip bukan lagi bunyi di stadium selepas selesai perlawanan.

Mereka menulis dengan komputer. Jari-jemari wartawan mengetuk huruf-huruf di keyboard. Ia tidak berbunyi. Senario ini telah berlangsung di dekad 90-an lagi. Jika diambil kira komputer mula digunakan wartawan sukan pada Piala Dunia tahun 1990 di Itali, maka Piala Dunia 2010 menandakan sudah dua dekad ketukan mesin taip tidak lagi kedengaran di kalangan wartawan di stadium.

Imej-imej wartawan di Olympiastadion, Munich pada 1974 tentu tidak akan berulang lagi di Piala Dunia 2010 Afrika Selatan. Dengan rokok di jari dan dengan jari lain sedang mengetuk huruf sudah menjadi imej klasik.