21 May, 2008

Mahathir dan Peranan Seorang Negarawan (bahagian ii)

pandangan Umar Zain

DALAM majalah bulanan ‘Reader Digest’ April 2008, diselitkan satu tajuk yang menarik 'Can These Gurus Save The World? Ia berkenaan usaha seorang billionaire kapal terbang tambang murah British, Sir Richard Bronson untuk mengumpulkan tokoh-tokoh dunia untuk membentuk satu ‘tata baru dunia’. Objektif terakhirnya ialah sebuah dunia yang lain dari dunia hari ini, lebih aman dan adil untuk semua.

Menarik perhatian ialah keriteria yang dicadangkan oleh Scilla Elworthy, pengasas Oxford Research Group yang digaji oleh Virgin Airlines untuk menyenaraipendeknama-nama negarawan ke dalam pertubuhan tersebut. Kriteria utamanya ialah mereka tidak lagi terlibat dengan politik, tiada personal agenda, tidak berkepentingan atau berat sebelah. Selain itu, mereka hendaklah menunjukkan satu tahap integriti yang tinggi, dan mendapat penghormatan dan kepercayaan antarabangsa, serta mempunyai reputasi 'tidak bersifat memaksa' sewaktu kepimpinannya ke atas sesebuah negara atau pertubuhan.

Antara tokoh-tokoh yang telah dijemput dan melepasi saringan badan itu ialah Jimmy Carter, Nelson Mandela, Kofi Annan, Muhammad Yunus (Bangladesh), Aung San Suu Kyi, Desmond Tutu dan Lakhdar Brahimi. Adakah Tun Mahathir berada di dalam saringan mereka atau tidak bukan menjadi persoalan kepada kita. Atau, sejauh mana kumpulan ini akan berjaya di dalam misinya tidaklah diketahui.

Melihat kepada kriteria yang dicadangkan, sangat sukar rupanya memilih ‘the most elders’ di kalangan kesemua 300 statesman yang ditinjau oleh kumpulan tersebut.

Kepada saya, Dr Mahathir telah memenuhi sebahagian kriteria itu. Lagi pula, kita tidak mempunyai ramai calon yang boleh dikemukakan kepada dunia. Dr Mahathir mungkin seorang dari bilangan rakyat Malaysia yang boleh dibilang kurang dari sepuluh jari yang boleh dimasukkan ke dalam senarai elders village itu.

Bagaimanakah kita menanggapi siri-siri tindakan Dr Mahathir terhadap kerajaan semasa berasaskan kriteria yang dicadangkan itu?

Pada awal persaraannya, Dr Mahathir memang diakui dan diiktiraf negara sebagai seorang statesman. Kerajaan menganugerahkan gelaran ‘Tun’ kepada beliau atas sumbangannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri yang mentransformasikan hampir seluruh aspek wajah Malaysia.

Namun, tindakan beliau kemudiannya tidak mengembangkan sikap kenegarawanan itu, malah semakin mengecil dan terbatas skop pandangannya. Mahathir akan menjadi lebih besar tanpa permainan remeh temeh yang beliau lakukan seperti keadaan sekarang ini. Permainan seperti keluar parti, nak menjadi perwakilan atau apa-apa sahaja tindakan dalam skop kepartian menyebabkan sebahagian pemerhati politik, khususnya golongan muda menjadi muak dengan tindakan keanak-anakan seperti orang yang baru nak berjinak-jinak dengan politik.

Mahathir telah ‘melanggar sebahagian syarat atau kriteria statesman itu tadi. Beliau secara nyata telah melanggar syarat utama, di bawah kriteria ‘tidak lagi terlibat dengan politik’. Sukar hendak dipastikan komen-komen Mahathir sekarang ini berada di luar jalur ‘tiada personal agenda, kepentingan atau berat sebelah’. Walaupun secara jujur, kita perlu mengiktiraf bahawa Mahathir masih menunjukkan tahap integriti yang tinggi, dan mendapat penghormatan dan kepercayaan antarabangsa, misalnya dari negara-negara Arab dan kelompok negara-negara ASEAN.

Masih tidak terlalu lewat untuk Mahathir kembali ke pangkal jalan. Dengan terus berbuat sepertimana siri tindakan beliau sekarang, Mahathir hanya akan menambahkan kerugian kepada UMNO, negara dan paling utama orang-orang Melayu.

20 May, 2008

Apa Perspektif Anda?

komentar semasa Fikri Hanipi

Susulan Dr Mahathir mengosongkan dirinya sebagai ahli UMNO di pihak mana anda mengkelompokkan diri mempunyai kaitan sangat rapat dengan apa perspektif anda. Dari Kota Bharu Nik Aziz mengatakan beliau orang paling gembira mendengar perkhabaran itu. Komen Musa Hitam pula berbeza. Meskipun sedih, sms beliau menambah ‘duri dalam daging’ sudah keluar.

Di mana-mana malam ini, besok, lusa dan mungkin berlanjutan ke tempoh masa relatif panjang, andaian-andaian apa selanjutnya berlaku dalam UMNO dan politik negara akan bertali arus muncul. Tidak ada siapa boleh mendakwa andaian mereka itu akhirnya nanti berakhir dengan kenyataan. Kenapa?

Ini kerana apa yang akan berlaku selepas ini terletak di tangan pihak yang terlibat – pihak pembuat keputusan (ahli UMNO sendiri khususnya penjawat jawatan), pihak-pihak yang mempunyai pengaruh, solusi daripada intelektual ekoran mood semasa yang didakwa terbuka, faktor media yang mahu mencorak keadaan, dan sehalus mana taktikal parti di luar UMNO mengambil peluang juga tidak boleh diketepikan dll.

Penganalisis bebas (sejauh mana?) akan mentafsirkan berita ini sangat dramatik. Apakah :

i. tindakan Mahathir semata-mata kasihnya pada parti

ii. semata-mata demi menjatuhkan presiden parti sebagai PM

iii. gabungan antara keduanya

iv. Mahathir sendiri seorang individu bermasalah

v. bukan perkara-perkara di atas

Jika Mahathir membuat tindakan itu atas alasan cintakan parti, timbul persoalan lain seperti – tidak ada lagikah kaedah lain boleh diambil yang lebih tidak membahayakan parti? Secara umum, kekuatan sebuah parti tidak akan terjejas dengan kehilangan ahlinya sukar dibuktikan.

Pada Pak Lah, beliau telah menegaskan tidak akan meletakkan jawatan. Jika selepas ini dan selepas Perhimpunan Agung UMNO pada Disember Pak Lah terus diberi kepercayaan sebagai presiden, maka sebahagian ahli parti (pengikut Mahathir) bukan lagi ahli. Sejauh mana pengaruh ahli yang keluar berkadar terus dengan sejauh mana kesannya pada parti. Tempoh masa kesan ini berpanjangan akan ditentukan pula oleh elemen lain (yang berfungsi sebagai pembolehubah) pada waktu itu.

Jika mewakili salah satu strategi semata-mata untuk menjatuhkan Pak Lah sebagai PM dan presiden parti, ia boleh dipersoalkan – apakah strategi ini tidak melanggar amalan demokrasi dalam parti? Meskipun mendakwa sudah tidak ada demokrasi (pada tafsirannya) dalam parti dibawah presiden semasa, apakah ini boleh dijadikan asas tindakan yang sama tidak demokratik diambil?

Jika Mahathir dalam kes ini pula mewakili seorang individu yang bermasalah, mungkin dalam negara tidak kekurangan pakar berkaitan untuk melakukan apa yang perlu bagi membaikpulih keadaan.

Urutan perkara yang telah cuba dipersoal di atas atau sebahagian darinya boleh jika mahu diberi perhatian untuk menyingkap pula apa perspektif anda.

Teori Mengenai Manusia Bernama Mahathir

pandangan Aizam Ramli

1. Mahathir ialah seorang yang possessive.

Seseorang yang possessive ialah seseorang yang mahu memiliki segalanya, dan tak mahu ada yang di luar genggamannya. Semakin kuasa tidak ada di tangan semakin beliau risau. Apabila beliau mengkritik Pak Lah, beliau mahukan Pak Lah jatuh tersungkur dan pengganti Pak Lah mestilah seseorang yang boleh ditungganginya, Najib (to be fair to Najib, Najib tidaklah semestinya seseorang yang akan subscribe kepada kehendak Najib). Apabila beliau mengkritik Pak Lah dan Pak Lah tidak semakin lemah, beliau akan menjadi lemah. Malh, dalam beberapa kejadian, beliau akan terkena sakit jantung. Seperti berlaku di Langkawi, ketika pertemuan Pak Lah dengan Mahathir. Semakin Pak Lah kuat, semakin lemah jantungnya, semakin tidak bermaya hidupnya dan begitulah sebaliknya.

2. Mahathir dikuasai pemikiran dan dasar oleh kaum Cina.

Beliau suka bercakap mengenai ketuanan Melayu, tetapi dalam banyak peristiwa beliau digerakkan oleh tauke Cina. Lihat sahaja pelantikan Hakim, Vincent Tan boleh tentukan siapakah Hakim yang dikehendaki dalam mengenadalikan kes. Yang memalukan lagi bagaimana kehakiman boleh dibuat oleh orang lain, bukan hakim bicara berkenaan. Ini boleh berlaku di zaman pemerintahan Mahathir.

Begitu juga pemberian 10 peratus tempat di MRSM, Sekolah Sains dan Matrikulasi.

Sama seperti dengan Menteri Pelajaran yang juga Ketua Pemuda, menghunus keris dalam perhimpunan orang Melayu tetapi dalam masa sama sanggup 'membuka' semula SRJKC Damansara, apabila di desak oleh kaum Cina.

3. Seorang kelkatu yang memerlukan lampu sepanjang hidupnya.

Beliau tidak boleh berehat dan bersara seperti orang lain. Beliau mahukan TV/akhbar dan semua bahan internet memperbincangkan mengenai dirinya. Inilah antara sebab beliau keluar dari UMNO. Sebelum pilihan raya 2008 beliau mengkritik kerajaan dengan bahasa yang ganas supaya kerajaan jatuh. Ketika pilihan rayapun beliau masih mengkritik dan sebaik selepas pilihan raya, beliau terus mahukan akhbar terus membuat liputan terhadap dirinya dengan meminta Pak Lah letak jawatan. Oleh sebab lampu diberikan kepada VIP berkuasa, maka beliau terasa kesunyian dan mengatur langkah supaya beliau boleh terus diberikan lampu berkenaan.

4. Seorang diktator

Beliau mahu menentukan segalanya dan tidak boleh orang lain melawannya. Apabila beliau kalah 43 kerusi dalam perhimpunan agung UMNO 1987, tidak ada seorangpun yang berani bersuara meminta beliau meletak jawatan. Walhal, perhimpunan UMNO itu jelas menunjukkan Mahathir tidak lagi diterima. Kegilaan kepada kuasa itu tdak asing kepada beliau.

5. Tidak berhati UMNO

Apabila beliau terkeluar dari UMNO, beliau berucap atas pentas PAS untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada pada 1957. Sanggup melakukan apa sahaja, asalkan cita-cita tercapai. Beliau juga membunuh UMNO pada 1988 dan mewujudkan UMNO Baru. Dan, kini sekali lagi beliau keluar dalam memenuhi nafsu politiknya, dan mengajak orang lain keluar UMNO sama. Apa sahaja beliau akan lakukan demi memastikan cita-cita untuk menjatuhkan Pak Lah.