13 May, 2008

Tun Mahathir dan Tugas Seorang Negarawan

pandangan Umar Zain

Selama 22 tahun, saya membesar pada era Mahathir. Sehingga ke usia boleh berfikir politik, saya memuji Mahathir. Pujian yang sungguh-sungguh. Meminatinya dengan memerhatikan setiap pandangan dan tuturnya. Ideanya berkenaan bangsa Melayu, dan wawasannya dirasakan begitu berkesan. Tidak dilupakan jasa-jasanya yang banyak kepada negara Malaysia.

Lanskap Malaysia ditukar dari rupa pertanian kepada industri. Sampai sekarang saya dan kawan-kawan selalu mengakui-tanpa Mahathir Putrajaya, KLIA, Menara Petronas dan berderet-deret lagi jasanya yang tak terhitung tidak mungkin wujud.

Saya selalunya beremosi. Bukan sahaja Rafidah Aziz yang menangis sewaktu pengumuman persaraan Mahathir dari persada politik dan kepimpinan negara.Saya turut menangis.Semacam tak percaya bahawa Mahathir yang begitu bijaksana dan berlimpah jasanya akan turun takhta pentadbiran.

Walaupun begitu, menyedari bahawa asas politik berteraskan UMNO telah kukuh, serta asas kepada perkembangan ekonomi negara berada di landasan kukuh untuk diteruskan penggantinya, maka kebimbangan itu tidak lah besar.

Episod seterusnya, bunga-bunga kritikan Mahathir kepada penggantinya mula tercetus namun tidak begitu melarat. Sekalipun bimbang dengan permulaan ini, saya menyedapkan hati bahawa Mahathir bukanlah 'Mahathir' tanpa komen-komennya yang pedas sejak zaman 'Malay Dilemma' terbit. Hal ini diyakini tidak merosakkan negara.

Rupa-rupanya hal ini berterusan. Sehingga ke hari ini, Tun Mahathir masih belum berhenti mengkritik pentadbiran Pak Lah. Malah lebih hebat daripada sebelumnya. Terbaru Mahathir melancarkan blognya, chedet.com yang kelihatan pada posting-postingnya khusus untuk mengkritik dan mengecam pentadbiran kerajaan semasa.

Hal ini memang pada awalnya menimbulkan kesulitan yang bukan sedikit kepada saya dan teman-teman untuk mengambil sikap dan pendirian. Antara soalan awal yang kami pertanyakan apabila Mahathir mengkritik pembatalan jambatan bengkok ialah; Apakah kritikan itu sebagai sebahagian 'tugas'nya sebagai seorang negarawan ataupun ada idea-idea tersirat yang lain.

Dari jambatan bengkok, kritikan Mahathir menjangkau kepada projek-projek utama kerajaan yang lain. Hampir kesemua keputusan kerajaan dipersoalkan. Kemudiannya, bermulalah serangan yang lebih bersifat peribadi kepada kepimpinan kerajaan yang baru. Istilah tingkat empat dan Patrick Badawi muncul di benak rakyat Malaysia.

Selepas anaknya, Mukhriz terlibat dalam pemilihan UMNO di bahagian Kubang Pasu seterusnya di peringkat Pemuda UMNO, nampak sedikit sebanyak kritikan Mahathir ada kaitan dengan proses promosi Mukhriz untuk melobi jawatan-jawatan tersebut.

Sejak itu, saya menilai kembali Mahathir sebagai seorang yang memegang status negarawan. Mahathir tidak boleh marah kepada saya akibat penilaian semula ini. Mahathir yang mengajar bahawa kritikan perlu sekalipun kepada apa saja.

Kepada saya, negarawan di negara kita statusnya di bawah sedikit daripada kedudukan Yang Dipertuan Agung dan Raja-raja Melayu. Seorang negarawan adalah seorang yang amat dihormati kerana jasanya yang telah dibuat, ketokohan dan karismanya. Lebih penting, saya menilai seorang negarawan dari idea-idea yang diberikannya kepada negara untuk melengkapkan lagi pembangunannya. Saya juga bersetuju dengan idea bahawa negarawan bukanlah seorang yang duduk diam-diam selepas memberikan servisnya kepada negara bertahun-tahun sehinggalah 'bersara'. Negarawan masih berperanan kepada negara. Tapi peranan Mahathir sekarang perlu dinilai semula keberkesanannya.


Kepada saya, Mahathir melengkapi kriteria negarawan kerana jasa, karisma dan ketokohannya. Sampai sekarang, saya memuji Mahathir kerana kepetahannya berhujah. Tetapi, idea-idea Mahathir sekarang membawa keruntuhan. Keruntuhan kepada parti, mungkin juga selepas ini keruntuhan negara.

Idea-idea Mahathir berkenaan Perdana Menteri dan UMNO ternyata meruntuhkan. Mahathir tidak mengakuinya (dalam laman chedet.com) kerana menganggap ideanya untuk membina sebuah kerajaan dan pemerintahan yang kuat.

Mahathir ada saham dalam kemerosotan prestasi BN dalam PRU 12. Mahathir setelah menyedari pengaruhnya yang besar terhadap pemikiran rakyat Malaysia, menggunakan sebaik-baiknya dalam serangan peribadinya terhadap Perdana Menteri. PM lemah, 'saya silap memilih Abdullah', 'Abdullah PM satu penggal' menjadi modal utama pembangkang. Video dan rakaman kritikan Mahathir menjadi bahan kempen pembangkang.

Kini, saya menilai kembali peranan Mahathir. Saya menarik balik, mungkin untuk sementara gelaran 'negarawan' terhadap Mahathir. Penarikan ini boleh jadi sementara atau kekal bergantung kepada tindakan Mahathir selepas ini. Saya berhak menariknya, sebagaimana hati saya secara 'natural' telah melantiknya sebagai negarawan sewaktu air mata saya menitik semasa menyaksikan ucapan penangguhan perhimpunan agung UMNO dulu.

Selain itu, saya masih berharap Mahathir akan menjalankan semula peranan negarawan yang sepatutnya dimainkan oleh beliau sesuai dengan pengiktirafan dunia terhadap jasa dan idea-idea beliau dahulu.

Saya mengharap Mahathir akan lebih berfikir keluar. Maksudnya keluar dari dirinya dan kepentingan dirinya jika ada. Keluar dari kepentingan Mukhriz, Mokhzani, perniagaan keluarga dan sebagainya. Mahathir perlu bercakap semula dengan lebih giat isu-isu dunia. Isu ketidakadilan Amerika, isu Zionis yang sekarang masih ketiadaan heronya.

Mahathir boleh bercakap isu dalam negara. Tetapi bukan sebagai orang yang berpihak. Seperti YDP Agung, Mahathir boleh memberi nasihat dan menyentuh isu politik, sosial dan ekonomi negara secara tidak merujuk kepada keperpihakannya kepada mana-mana team. Malah, tidak sesuai sebagai negarawan Mahathir mengecam pembangkang, apatah lagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Mahathir bukan setaraf dengan Joseph Estrada, bekas presiden Filipina yang terus mengganggu Arroyyo kerana hendakkan semula jawatan Presiden. Mahathir juga pasti sedar bagaimana kritikan berterusan bekas Presiden USA yang berkarisma, Roosevelt terhadap Presiden Taft, di mana parti beliau hanya tinggal dua kerusi sahaja.

Alangkah hampanya saya apabila Mahathir melanggar syarat utama negarawan. Mahathir menjadi rendah di mata saya, sebab saya yakin Mahathir akan menjadi lebih 'besar' dan lebih dihormati sekiranya dia melihat keluar dirinya.

Apapun semuanya terserah kepada Mahathir. Mahathir sesungguhnya telah membuat pilihan, begitu juga saya telah pun membuat pilihan-menggantung status negarawan yang pernah saya kalungkan dengan sepenuh kasih sayang saya kepadanya.

0 Comments: