06 May, 2010

Lantik Tun Daim Zainuddin Sebagai Perdana Menteri

Oleh Nuralam Akbar


USIA Tun Daim Zainuddin kini 71 tahun.

Beliau dua kali bersara dari Kabinet. Sebelum memasuki Kabinet, Daim merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sebagai seorang ahli perniagaan, otaknya ligat. Tenaganya kuat. Fikirannya selalu memantau pergerakan ekonomi-politik dunia.

Kini beliau banyak terlibat dalam perbankan. Ruang perniagaannya bukan hanya lagi mengkhusus dalam negara, bahkan di banyak negara - Afrika, Amerika Latin dan kerana perniagaan tidak mempunyai sempadan geografi, empayar perniagaannya luas. Beliau seorang yang berstrategis - mana mungkin ahli perniagaan boleh berjaya tanpa mempunyai kemahiran luar biasa dalam berstrategi?

Daim bukan seorang yang beretorik (biasa orang bercakap, orang pandai bercakap tidak pandai buat kerja!).

Kepemimpinan atau faktor pemimpin memainkan peranan maksimum penting sama ada maju atau mundur negara dalam tahun mendatang. Berbanding dengan sesetengah pihak yang ingin menjadikan politik sebagai kerjaya untuk mendapatkan pendapatan, Daim tidak mempunyai fikiran seperti itu. Dalam usianya kini, apa yang difikirkan, ialah satyu perkara: NEGARA.

Pengalamannya dalam politik dan perniagaan melangkaui zaman Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hampir separuh kebijaksanaan Tun Razak ada dalam dirinya.

Ah, mana mungkin beliau jadi Perdana Menteri Malaysia? Beliau tidak berminat dengan politik. Beliau tak ada jawatan di peringkat akar umbi, cawangan/bahagian UMNO. Mana mungkin ini boleh menjadi kenyataan?

Beberapa pilihan yang ada untuk memungkinkan ini berjaya.

1. Datuk Seri Najib Tun Razak melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Muhyiddin berkorban demi melihat negara ini maju, dan suka rela memberikan jawatan itu kepada Daim.

2. Najib kemudiannya berundur untuk memberi laluan kepada tokoh luar biasa ini untuk meluarbiasakan Malaysia ini.

3. Orang ramai perlu diyakinkan selepas Tun Dr Mahathir, hampir tiada tokoh sehebat Daim.

4. Gerakan perlu dilakukan untuk menjayakan perkara 3. diatas - seperti pertolongan PERKASA untuk mejayakan matlamat ini. Gerakan ini mesti besar sebesar tsunami untuk menggerakkan sesuatu yang besar dan agenda menyelamatkan negara ini.

Ada beberapa sebab lain yang akan dikemukakan dalam siri akan datang mengenai tajuk ini.

04 May, 2010

Melayu kepada Nordin Kardi

Kalau kita baca sejarah yang ada ialah India. Pakistan tidak ada. Tapi oleh kerana mereka ini adalah sama, kaumnya sama, bukan ada orang Melayu di India, semuanya orang India masa itu. Tapi hanya kerana mungkin perbezaan agama, pada hal mungkin adik beradik pun mereka ini, lalu orang Hindu dan orang Islam berperang. Orang Hindu tidak selesa hidup dengan orang Islam, orang Islam pun kata tidak boleh hidup aman dengan adanya orang Hindu di sebelah. Akhirnya berlakulah pemecahan India satu majoriti Hindu, satu majoriti Islam yang dinamakan Pakistan.

Weblog Nordin Kardi : http://nordinkardi.wordpress.com/

Ditubuhkanlah apa yang dipanggil Republik Islam Pakistan atas alasan hanya apabila hidup berasingan barulah kita jadi aman. Republik Islam pun ditubuhkan. Apabila ditubuhkan Republik Islam Pakistan, India yang majoriti Hindu, saling takut-menakuti antara satu sama lain. Orang Hindu takut Islam akan meyerang dan orang Islam juga takut orang Hindu akan menyerang. Lalu mereka menggunakan sumber kewangan negara untuk membina persenjataan.

Sekarang India menjadi sebuah negara nuklear. Pakistan juga menjadi sebuah negara nuklear tetapi hampir 50 tahun mereka menghabiskan wang itu untuk membeli benda persenjataan sehinggakan mereka lupa menggunakan wang itu untuk membangun manusia, rakyat jelatanya. Berbalik kepada Pakistan yang menyatakan kita hanya boleh hidup dengan aman kalau sekiranya kita tidak bercampur dengan orang lain, rupanya tidak begitu kesudahannya. Dalam masa yang singkat sahaja orang Islam sesama orang Islam berperang, lalu muncullah sebuah negara baru yang bernama Bangladesh, yang asalnya Pakistan. Pengajaran ini harus menjadi iktibar kepada kita sama ada kita sanggup atau tidak untuk hidup bersama walaupun kita berbeza agama, berbeza kulit, mungkin berbeza asal usul. Alhamdulillah kita telah menjaganya setakat ini adakah kita mahu merosakkannya.

Di timbulkan isu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada masa ini, pada hal mungkin kalau kita merenung secara mendalam DEB itulah yang menyelamatkan kita dapat hidup aman dari tahun 70-an sehingga sekarang selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kenapa saya katakan begini? Peristiwa 13 Mei berlaku akibat daripada ketidakpuasan hati sesama macam-macam kaum yang ada dalam negara kita. Lalu DEB diperkenalkan yang mungkin kaum lain, pada ketika itu memang sangat ragu-ragu dengan apakah niat DEB. Bahkan banyak yang menentang. Tetapi rupanya DEB telah ditekankan dia tidak akan merampas hak sesiapa, sebaliknya kita memperbesarkan kek ekonomi dengan menumpukan tenaga untuk pembangunan ekonomi.

Sebagai contoh apa yang dimaksudkan dengan memperbesarkan ekonomi. Mungkin anak-anak muda di sini tidak faham. Satu-satunya universiti yang ada sebelum tahun 1970 ialah Universiti Malaya (UM). Jumlah pelajarnya ialah 5,000 orang. Jumlah pelajar Bumiputera di Universiti Malaya terutama dalam bidang sains ialah empat peratus sampai ke tahun 70. Bermakna tiap-tiap 100 orang pelajar di Universiti Malaya hanya ada empat orang Melayu Bumiputera pada tahun 70 walaupun dia telah ada di situ semenjak tahun 63. Mungkin kaum lain akan marah apabila datang DEB dengan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus Bumiputera di universiti. Kemudian pada tahun 1981 dasar itu diubah di IPT supaya 51/45, tetapi rupanya banyak orang bukan Melayu/bukan Bumiputera menyedari selepas beberapa tahun tidak terlampau buruk.

Kalau sekiranya orang bukan Melayu kekal hendak 96 peratus tempat di universiti, mesti diberi kepada orang bukan Bumiputera berdasarkan kepada merit. Ok, tetapi 94 peratus daripada 5,000. 94 peratus daripada 5,000 mungkinlah dalam 4,500 bukan Bumiputera, dan ada dalam 500 untuk Bumiputera. Dan itu kekal sehingga sekarang mungkin iaitu hanya ada 4,500 walaupun mengekalkan peratusan 96 peratus, tetapi memperbesarkan kek ekonomi bererti sekarang kita ada 20 universiti. Walaupun ia hanya mungkin 45 peratus atau 40 peratus bukan Bumiputera tetapi 40 peratus daripada 200,000. Dia sudah menjadi hampir 100,000, jadi yang mana yang kita nak, real number atau percentage? Pada hal kita belajar, statistics can be abused. Peratusan mungkin kita lihat besar tetapi nombor sebenar bagaimana? Adakah kita nak kekal 4,000 atau kita nak dapat 90 ribu orang pelajar bukan Bumiputera di dalam universiti. Inilah yang harus difahami apakah maksud memperbesarkan kek ekonomi yang menjadi inti kepada DEB.

Yang kedua, mulai tahun 1970 juga disasarkan supaya Bumiputera akan memiliki 30 peratus daripada kekayaan di dalam negara. Pada masa itu Bumiputera hanya ada 2.4 peratus dalam tahun 1970. Bermakna kalau ada 100 ringgit di dalam negara, milik Bumiputera pada masa itu hanya ada RM2.40. Cakap Kedah kata dua ringgit empat kupang. Tapi bukan semuanya pula milik bukan Bumiputera. Milik bukan Bumiputera ialah 30 ringgit atau 30 peratus. Negara kemudian bukannya kerajaan orang Melayu tetapi kerajaan yang bersama-sama berkongsi pada ketika itu memutuskan keadaan ini tidak elok untuk negara, lalu dicari formula hak Bumiputera di dalam milik ekuiti, hendaklah ditingkatkan kepada 30 peratus. Ia dibuat bukan melalui paksaan tetapi melalui peluang-peluang yang disediakan untuk mereka boleh memajukan diri, dan tempoh yang diberikan ialah 20 tahun. Menjelang tahun 1990, angka disemak semula didapati Bumiputera memang mengalami peningkatan. Semua kita adalah hasil daripada DEB. Kadang-kadang kita lupa. Peningkatan telah berlaku daripada RM2.40 ekuiti Bumiputera di dalam tiap-tiap RM100 di dalam negara pada tahun 1990, telah meningkat menjadi RM22, walaupun tidak mencapai RM30. Akibat daripada serangan ekonomi tahun 1997, angka berkenaan merosot menjadi lebih kurang 18.6 peratus ataupun RM18.60 sekarang.

Tapi apabila kita lihat pula bukan Bumiputera yang dahulu ianya RM30 telah meningkat dalam tahun 1990 menjadi RM36. Bukan tidak meningkat mungkin peratusan peningkatan tidak seperti mana peningkatan Bumiputera sebanyak 20 peratus tetapi dia meningkat daripada 30 peratus hingga ke 36 peratus, kemudian akibat daripada serangan ekonomi, bukan Bumiputera juga turun semula kepada 34 peratus. Jadi bermakna kedua-dua pihak boleh membawa keuntungan melalui formula ini. Semua orang dapat. Bagaimana semua orang boleh dapat?

Kita ambil contoh, saya pun dulu pernah sebut contoh ini. Katakan sebuah Rancangan FELDA membuka mungkin 500 hektar tanah di hutan Pahang untuk Bumiputera. Projek FELDA ini untuk Bumiputera. 500 hektar tanah, kemungkinan boleh memuatkan kira-kira 400 penghuni-penghuni FELDA yang terdiri daripada mungkin orang Melayu dari kampung-kampung. Negara mungkin terpaksa berbelanja mungkin juga RM100 juta. Jadi RM100 juta diluluskan oleh Parlimen untuk orang Melayu. Ini nampak tidak adil RM100 juta untuk orang Melayu. Sedangkan yang membayar cukai bukan semuanya orang Melayu. Gambaran awal kelihatan tidak adil. Tapi, kepada mereka yang mahu menyelam untuk memahami, didapati bukan tidak adil kerana RM100 juta itu peruntukan untuk Melayu, 500 hektar tanah untuk peneroka FELDA menanam getah. Peneroka FELDA menanam getah akan menunggu tujuh tahun baru getah itu boleh ditoreh yang mungkin mereka dapat masa itu dalam RM700, iaitu selepas tujuh tahun mereka menunggu. Pendapatan bulanan mungkin dalam RM40 sahaja sara hidup mereka pada ketika itu, sebagai peneroka-peneroka awal. Jadi ke mana duit itu pergi?

Walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera tetapi apabila tiba kepada menebang hutan masa itu tidak ada Bumiputera mempunyai jentera untuk menebang hutan besar di hutan Pahang. Jadi mungkin habis RM20 juta. RM20 juta serta merta pergi ke tangan bukan Bumiputera untuk menebang hutan. Walaupun projek itu dulu RM100 juta diperuntukkan untuk Bumiputera. Jadi bermakna walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera, orang bukan Bumiputera juga memperolehinya. Mungkin seperti saya katakan tadi peneroka FELDA menunggu tujuh tahun untuk memperolehi RM700 sebulan, tapi bukan Bumiputera boleh memperolehi 20 juta dalam tempoh serta-merta untuk menebang hutan.

Selepas hutan ditebang, jalan perlu dibina. Mana ada Bumiputera masa itu boleh membina jalan. RM10 juta pula untuk membina jalan. Habis sudah RM35 juta juga serta-merta. Faedahnya pergi pada semua orang. Selepas jalan dibina, paip air hendak dimasukkan. Habis lagi RM10 juta. Sudah RM55 juga. Selepas paip air dimasukkan rumah-rumah hendak dibina dengan cepat. Lagi RM15 juta sebab tidak ada Bumiputera yang boleh membuat rumah-rumah FELDA dengan cepat. Sekolah kena dibina dan sebagainya. Akhirnya RM100 juta itu habis dapat dinikmati oleh semua orang.

Saya percaya kerana inilah pemimpin-pemimpin pelbagai kaum baik Melayu, Cina dan India yang dulu mereka sangat fahami hal yang seperti ini. Sebab keputusan itu bukan dibuat keputusan berseorangan tapi keputusan semua orang. Akhirnya semua orang rupanya mendapat nikmat walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera. Jadi saya amat berharap graduan UUM adalah mereka yang sangat memahami hal seperti ini kerana kalau kita lupa tentang formula seperti ini berkemungkinan kita bukan menyumbang ke arah kebaikan negara, tapi sebaliknya mungkin membawa negara kita ke arah kemerosotan.

Di tempat lain saya tidak dapat bercakap seperti ini mungkin tetapi di hadapan saya ini, saya rasa bertanggungjawab kerana mahasiswa dulunya di sini telah pun diajar dan sekarang akan menjadi graduan yang akan berjuang di tengah-tengah masyarakat. Kami ingin memesankan pesanan yang terakhir sebelum saudara-saudari menjadi anggota masyarakat sepenuhnya di luar sana supaya apabila kita ada masalah, kita kembali kepada mengapakah sesuatu itu dibuat. Mungkin ada alasan-alasan yang kita selama ini tidak faham sehingga menjadikan kadang-kadang membangkitkan emosi dan sebagainya yang bukan bakal membawa kebaikan. Oleh itu saudara-saudari sekalian menjadi kewajipan kita untuk menjaga negara kerana negara tidak jadi seperti ini dengan sendirinya.

Siapa sangka dulu bukan Bumiputera yang dulunya di dalam Perlembagaan negara yang layak untuk menerima bantuan-bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa pendidikan ialah Bumiputera, tetapi sekarang kita telah pun dapat menyediakan wang PTPTN misalnya kepada semua orang yang memang layak tidak kira kaum. Proses ini akan berlanjutan, berterusan supaya semua orang merasa mendapat keadilan berdasarkan kepada kerana bukan Bumiputera tiba-tiba terus dapat. Sebaliknya kepada mereka yang layak. Saya misalnya, anak saya ada empat orang. Tiga orang sudah masuk universiti. Ketiga-tiganya saya tidak dapat PTPTN kerana pendapatan saya dikatakan tidak layak menerima PTPTN. Walaupun kadang-kadang pening juga duit pun tidak berapa cukup juga untuk membiayai anak. Tapi oleh kerana saya tidak layak, saya tidak layaklah walaupun saya Bumiputera. Bendahari UUM, Dato’ Maidin Syed Ali menghantar anak beliau ke Indonesia untuk mengambil bidang perubatan juga mungkin tidak layak untuk menerima bantuan dan sebagainya. Terpaksalah mencari kewangan sendiri. Faedahnya ialah untuk generasi akan datang.

Mudah-mudahan satu ketika nanti hal ini tidak akan berlaku lagi kerana masing-masing telah boleh berdiri sendiri tanpa bantuan. Kerana itu diserukan kepada Bumiputera terutama Melayu supaya perlahan-lahan kita buangkan tongkat sokongan ini, kerana andaikan satu ketika nanti tongkat tidak ada lagi bolehkah Bumiputera berdiri sendiri tanpa bantuan. Bolehkah mereka berhubung sesama sendiri antara rakyat dengan rakyat tanpa ada campur tangan daripada kerajaan.

Tapi malangnya sehingga sekarang kalau disuruh rakyat melakukannya secara sukarela supaya bekerjasamalah sesama kaum, ianya tak terjadi sehingga terpaksa dilakukan campur tangan oleh kerajaan. Ianya tidak berlaku walaupun dibuat secara putih hati, sukarela dan jiwa murni. Di dalam kampus pun, saya lihat Bumiputera tidak hendak bergaul dengan bukan Bumiputera, bukan Bumiputera pun bergaul sesama sendiri. Apabila keadaan semuanya menyokong ke arah itu, semua orang berfikir ini adalah baik. Walaupun baik kita keberatan melakukannya sehingga terpaksa diadakan campur tangan daripada pihak pentadbiran dan sebagainya untuk membolehkan saudara-saudari bergaul. Kalau didudukkan satu bilik saja pun seorang yang bernama Ramlah dan seorang lagi bernama Siow Mei Mei, misalnya, akan datanglah ke Pejabat Naib Canselor kerana tidak selesa duduk berbeza kaum.

Pada hal apa salahnya, inilah peluang mungkin pada masa akan datang, manalah tahu saudara-saudari pelbagai kaum dapat membina jaringan perhubungan persahabatan yang akhirnya dapat membina empayar perniagaan di luar kerana dulu dia adalah kawan baik saya. Kalau kita belajar di luar negara hendak sangat pula kita duduk dengan “Mat Saleh” . Kalau kita belajar di United Kingdom atau Amerika Syarikat mahu pula duduk di asrama “if possible I want to live in the same room with student of Mat Saleh, I don’t want to live with my colleagues from Malaysia, but why can’t we do it here in Malaysia”. Kenapa? Bukankah ini tempat yang paling baik kita untuk menyemai benih supaya pada masa akan datang sempadan-sempadan seperti ini akan tiada lagi.

Tapi apabila masing-masing membina kelompok-kelompok, tidak berinteraksi, berfikir di dalam kotak masing-masing. Sorang duduk di dalam bakul, seorang duduk di dalam tempayan, seorang duduk di dalam cerek lalu semuanya kita lihat perspektif kenegaraan dilihat dalam cerek. Perspektif kenegaraan kita lihat dalam bakul, perspektif kenegaraan kita lihat dalam tempayan. Graduan, “graduate”, di Malaysia ini hanya terdiri dalam lingkungan 20 peratus sahaja orang yang seumur, 80 peratus lagi ialah mereka yang tidak berpeluang untuk masuk ke universiti.

Bayangkan kalau yang 20 orang daripada tiap-tiap 100 ini tidak mampu mencorakkan negara yang bakal menikmati kemakmuran dan keamanan apa akan jadi kepada 80 yang lain atau adakah nanti saudara-saudari keluar yang 80 itu akan menggoda saudara-saudari untuk menjadi seperti mereka. Sensitif perkauman, sentimental perkauman, dogmatik kepada ideologi perkauman, saudara-saudari tidak akan dapat melihat anak-anak saudara-saudari dapat duduk dengan aman sebanyak 21 kali di UUM seperti yang telah kita dapat lihat sekarang. Inilah harapan saya. Sebelum saya berhenti daripada berucap saya hendak tunjukkan video klip yang saya telah minta Pejabat Perhubungan Awam menyediakan sebagai barangkali ingatan semula kita kepada perjuangan kita yang belum lagi tamat. Kita belum boleh lagi bermain-main, silakan….

Perjuangan Yang Belum Selesai

Langkah, beribu langkah,
Ke destinasi yang di impi,
Tiba terhenti, tercari-cari,
Haluan arah, yang telah pun musnah,
Harapan tak kesampaian.

Hina, hinanya diri,
Hanya menantikan bantuan,
Bagaimanakah ini terjadi,
Kerdilnya diri bukan lagi tuan,
Inikah rupanya nasib bangsaku.

Langkah demi langkah,
Biarkan bertatih,
Impiankan juga terlaksana,
Martabat diri ini, tiadakan bererti,
Tanpa usaha, janganlah leka.

Mewah negaraku semerbak harumnya,
Renjisan keringat oh bangsaku,
Teruskan langkah ini,
Biarkan ia kekal selamanya…
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya.

Bukankah sejak zaman berzaman,
Mereka menjadi pelaut, pengembara,
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
Menjadi pedagang dan peniaga,
Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera,
Menjajah dunia yang tak dikenal?
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau,
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya?

Langkah demi langkah,
Biarkan bertatih,
Impian kan jadi terlaksana,
Martabat diri ini, tiadakan bererti,
Usahalah, jangan leka.

Mewah negaraku semerbak harumnya,
Renjisan keringat oh bangsaku,
Teruskan langkah ini,
Biarkan ia kekal sentiasa…

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku,
Kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga,
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa,
Perjuangan kita belum selesai,
Kerana hanya yang cekal dan tabah,
Dapat membina mercu tanda,
Bangsanya yang berjaya.


Saya ini anak kampung. Saya biasa bekerja kampung dan di kampung kebudayaan seni silat dan sebagainya memang menjadi kebiasaan. Datuk saya dikatakan sebagai seorang pendekar, tapi pernah semasa kecil semasa saya sudah kenal orang, saya berjumpa dengan datuk saya, “datuk”, saya kata, “ajarlah saya bersilat”. Datuk saya telah berkata kepada saya, “orang sekarang tidak bersilat-silat lagi. Orang sekarang menggunakan otak”. Jadi saya hairan mengapa datuk saya yang di kampung itu yang disebut-sebut sebagai pendekar tidak mahu menurunkan kependekarannya kepada saya. Rupanya mungkin datuk saya berpesan kepada saya lebih baik kamu tumpu kepada mengaji, belajar mengasah otak. Bukan saya kata bersilat ini tidak bagus, minta maaf saya, tetapi supaya kita berangan-angan pada satu ketika nanti kita akan dapat menolong orang dengan lebih banyak lagi.

Selain daripada mungkin di dalam bentuk semata-mata persilatan. Saya tidak sekali-kali memperkecilkan persilatan tapi maksud saya bagaimanakah cara-cara lain yang, mungkin datuk saya ingin tanamkan kepada saya, yang kamu Nordin boleh mencari jalan dapat menolong orang lain tanpa mengira kaum. Kemudian baru saya faham. Oleh kerana saya orang Islam, saya tidak ada pilihan. Saya mesti bekerja bersungguh-sungguh, jika saya hendak tempat yang mulia sebagai orang Islam yang mati nanti, tempat yang mulia ialah yang paling banyak membawa kebaikan kepada manusia. Agama tidak berkata kepada orang Islam sahaja kerana saya diajarkan bahawa orang Islam yang baik ialah orang Islam yang dapat membawa yang dipanggil sebagai “Rahmatal lilalamin”, rahmat kepada seluruh alam. Bila rahmat kepada seluruh alam bermakna bukan untuk orang Islam sahaja tetapi juga untuk kucing, tikus, babi, biawak, buaya semuanya mendapat rahmat kerana adanya Islam.

Apa lagi orang yang bukan Islam yang mereka juga adalah manusia kerana mereka itu mungkin lebih-lebih lagi sayangnya kita kepada mereka. Jadi inilah yang saya harap terutamanya orang Melayu Bumiputera berazam untuk bangun bukan untuk menindas orang lain, tetapi berazam untuk bangun bagi bagi membolehkan kita sentiasa dalam kedudukan menolong orang lain. Kalaulah misalnya nanti saudara-saudari senang di dalam kehidupan selepas graduat dari UUM, namanya mungkin Abdullah, tiba-tiba dia terdengar di Kampung Ulu Grik ada seorang mungkin Cina miskin namanya Tan Ker Ker atau anaknya bernama Siow Mei Mei. Siow Mei Mei tidak dapat menyambung pelajaran kerana tidak ada duit, saya berharap Abdullah yang akan pergi segera berlari ke Ulu Grik untuk bercakap kepada Tan Ker Ker, jangan bimbang Siow Mei Mei akan dapat belajar. Saya akan membiayainya. Saya harap semua graduan UUM bercita-cita seperti ini. Saya tidak berani untuk menyeru kaum Cina, kaum India nanti kata sebab Nordin orang Melayu, tapi saya juga berharap kalau itu juga dapat dilakukan.


Kalau saudara-saudari mendengar kaum lain mendapat kesusahan, cepat-cepat berlari untuk menolong mereka supaya kita dapat buktikan kepada mereka bahawa bantuan pertolongan kepada manusia tidak ada sempadan berdasarkan kepada kaum supaya dengan demikian bangsa akan dimuliakan dan dihormati. Inilah agak tadi yang disebutkan tadi, perjuangan kita yang belum selesai kerana kita ingin membawa mesej kemanusiaan di dalam negara kita sambil juga membawa mesej kemanusiaan ke seluruh dunia. Inilah formula yang telah kita pegang selama ini. Dan hati-hati, jangan-jangan kita mencari formula yang lain, yang mungkin baik dan mungkin tidak baik untuk kita. Jangan sampai apa yang kita kendong berciciran, apa yang kita kejar tidak dapat. Kita bimbang nanti yang telah tercicir itu tidak dapat dikutip lagi yang telah tidak dapat itu tidak dapat dikembalikan.

Mungkin inilah pesanan kami daripada pihak pengurusan dan guru-guru di universiti. Mudah-mudahan menjadi bekal kepada saudara-saudari untuk menjadi pemimpin dalam apa juga bentuk di tengah-tengah masyarakat.



Nota: Tulisan ini merupakan ucapan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia, pada 17 Mac 2008.

Siapakah pemimpin dicucuk hidung ?

Oleh Nuralam Akbar


KEKUATAN ringgit sejak akhir-akhir ini menutup masalah ekonomi dan sesekali sejarah hitam serangan ekonomi/politik untuk memiskinkan rakyat negara ini, seperti pernah berlaku pada September 1997, boleh dilupakan sekejab.

Apakah ini akan bertahan lama kerana kekuatan fundamental ekonomi Malaysia belum boleh dipastikan?

Apakah ianya berlaku kerana kebijaksanaan Gabenor Bank Negara, Zeti Aziz yang seakan-akan mengikut preskripsi Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) seperti memendekkan tempoh hutang tak berbayar kepada tiga bulan dan menaikkan kadar faedah telah membuahkan hasil atau mainan gula-gula spekulator?

Cara paling bertamadun untuk menjatuhkan negara, menguasai negara, dalam alaf ini, seperti berlaku di Mexico, bahkan negara jiran seperti Indonesia turun menyaksikan kejatuhan Suharto pada 1997, adalah melalui cara memusnahkan ekonomi negara berkenaan.

Bagi generasi muda yang tiada pengalaman dijajah secara fizikal seperti pernah berlaku kepada negara ini selama lebih 400 tahun, penjajahan bagaikan tidak mungkin akan berulang kerana berandaian manusia semakin bertamadun.

Kesan penjajahan tidak pernah dirasai kerana secara umumnya sehingga kini rakyat dapat mencari makan dengan mudah, berbanding beberapa negara lain yang rakyatnya terpaksa berhijrah ke negara luar untuk mencari makan.

Akan sampai masanya rakyat negara ini akan mengalami nasib seperti itu apabila negara sudah tidak lagi mampu diurus secara merdeka oleh pemimpin negara, seperti pernah berlaku di Indonesia, Pakistan dan Bangladesh.

Sebaliknya, kepada pengkaji ekonomi dan politik dunia menjelaskan penjajahan berlaku setiap masa melalui pelbagai kaedah yang asasnya untuk menguasai ekonomi negara berkenaan seperti mana Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) menjajah negara Asia dalam kurun ke-17 lalu.

Mike Billington, seorang penulis dalam kumpulan Laroche (www.larouchepub.com), telah menulis satu artikel bertajuk, British Empire Tool To Recolonize Malaysia, antara lain menjelaskan ada individu tertentu dalam negara digunakan oleh Soros, Paul Wolfowitz dan Al-Gore untuk menguasai pemerintahan Malaysia.

Mereka tidak lagi memilih kaedah penjajahan lama seperti dilakukan Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan membawa armada perang, tetapi menggunakan kaedah lebih bijaksana dan bertamadun dengan menggunakan senjata duit.

Pada tahun 1997 dulu, serangan yang jelas telah berlaku dan meletakkan negara ini dalam keadaan sangat tertekan. Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Michel Comesus dan Presiden bank Dunia, James Wolfensohn telah ‘memaksa’ negara melaksanakan kehendak dan tulunjuknya.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pengalaman `berperang’ dengan kumpulan ini pada tahun 1997 yang menyaksikan negara hampir bersujud kepada IMF/Bank Dunia/spekulator mata wang yang rata-ratanya Yahudi.

“Mereka mahukan dasar negara ditetapkan dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, menaikkan faedah pinjaman bank dengan tinggi supaya peniaga kekeringan modal dan tidak dapat berniaga, memendekkan masa untuk membayar hutang bank daripada enam bulan kepada tiga bulan untuk menjadikan yang berhutang muflis.

“….(tujuannya) bank dibeban dengan hutang tak berbayar (non-performing loans), supaya bank tidak dapat berfungsi dan memerlukan suntikan modal dan bermacam lagi tindakan yang melemahkan dan memburukkan lagi ekonomi negara ini supaya terpaksa mendapat bantuan IMF dan Bank Dunia dengan syarat ekonomi Malaysia diserahkan kepada institusi-institusi ini.”

Jika negara mengikut telunjuk mereka seperti mana yang juga dikendaki oleh beberapa pemmpin negara ini, penjajahan telah berlaku secara sempurna.

Namun begitu ada berhujah apa salahnya berkawan dengan Barat dan pemodal Yahudi jika mereka boleh membantu ekonomi negara dan dalam masa sama dapat menjelaskan mengenai pendirian umat Islam kepada mereka?

Jawapannya ialah apakah pendirian kita sama ada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh atau tidak menerima hadiah pemberian pakej haji ke Mekah, sedangkan pemberian hadiah berkenaan dikatakan pernah mendapat tawaran kontrak balak di Kelantan?

Mungkin kita boleh berhujah pemberian itu ikhlas!

Kumpulan yang dikenali sebagai neocon seperti Wolfowitz bukan tidak memahami pendirian dan hati budi masyarakat Islam, tetapi kerana kepentingan tertentu yang menyebabkan beliau memilih untuk berkawan dengan individu tertentu di negara ini.

Gorbachev dan Boris Yiltzen di Rusia juga pernah memberi kepercayaan kepada Barat dan Amerika Syarikat serta diberikan bantuan sehingga mereka bergantung kepada puak pemodal Barat, akhirnya negara Rusia menjadi seperti anai-anai mengigit tongkat Nabi Sulaiman, sehingga kerajaannya reput dari dalam, sebaik sahaja tongkat itu hancur.

Pengkaji seperti Laroche dengan penuh yakin mendapati penjajahan dibuat melalui penguasaan kepada pemimpin tertentu, dan menidakkan pemimpin tertentu.

Pemimpin yang kehendaki diberi imej positif oleh Barat melalui media yang juga mereka kuasai di seluruh dunia.
Malah, menurut Laroche, yayasan atau NGO yang ditaja juga diberikan nama berimejkan putih seperti demokrasi, yayasan untuk masa depan dan pejuang hak asasi manusia, atau mungkin juga melalui syarikat korporat yang berimejkan profesional.

Sesiapa yang mudah terpukau dengan nama dan imej barangkali sukar untuk melihat liciknya permainan ini, seperti mana masyarakat mudah terpukau dengan seseorang berjubah dan berserban sehingga ada yang sanggup menyerahkan anak baru berusia 10 tahun untuk dikahwini!

Inilah agaknya Baginda Sultan Kedah yang juga Canselor UUM mengingatkan generasi muda betapa perlunya berwaspada dan mengkaji bagaimana sesebuah negara dijajah melalui penguasaan minda pemimpin negara, yang akhirnya meletakkan negara dalam keadaan pergantungan.

Implikasi kepada generasi muda adalah mereka tiada lagi pilihan dan kebebasan memilih dalam hidup.

“Lebih baik negara mempunyai pilihan membuat polisi sendiri berbanding dengan polisi yang dipaksa oleh negara atau kuasa lain. Jika kita menjadi pemimpin negara, atau mahu memilih pemimpin negara, lebih baik memilih pemimpin yang tidak dicucuk hidung oleh kuasa lain.

“Pemimpin yang ditaja oleh dana luar atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) luar, ada kemungkinan mempunyai kepentingan kuasa luar terhadap diri pemimpin itu. Keadaan seperti ini mendedahkan negara kepada penjajahan.

“Banyak negara telah menjadi boneka yang digerakkan oleh kuasa lain apabila pemimpinnya telah berjaya dibeli atau boleh diperas ugut. Pemimpin berkenaan cenderung membuat polisi yang dikehendaki oleh tuannya. Polisi yang dibuat tidak akan melihat kehendak rakyat terbanyak. Polisi dibuat hanya menyenangkan kuasa di belakang pemimpin berkenaan.”

Seorang pemerhati politik negara berpendapat negara ini sudah diambang penjajahan kerana bukan sedikit pemimpin negara ini bukan sahaja meminta bantuan dari negara Barat, tetapi juga dengan bangga turut mengutuk negara ini, seolah-olah beliau merupakan warga global.

“Gobachev hanya berminat untuk berkawan dan meniru model ekonomi dan politik Barat, tetapi tidak pernah mengutuk Rusia, sedangkan pemimpin kita (terutama yang suka bermain pintu belakang!) meminta bantuan kekuatan untuk menyelesaikan masalah peribadi yang mendedahkan negara kepada peras ugut,” kata pemerhati politik negara.

Sesungguhnya dibahu setiap kita ada tanggungjawab kepada generasi anak-anak kita yang merupakan pewaris masa depan, dan sekali membiarkan negara dijajah mungkinkah akan menggelapkan masa depan mereka selama lebih 400 tahun lagi!