20 May, 2008

Apa Perspektif Anda?

komentar semasa Fikri Hanipi

Susulan Dr Mahathir mengosongkan dirinya sebagai ahli UMNO di pihak mana anda mengkelompokkan diri mempunyai kaitan sangat rapat dengan apa perspektif anda. Dari Kota Bharu Nik Aziz mengatakan beliau orang paling gembira mendengar perkhabaran itu. Komen Musa Hitam pula berbeza. Meskipun sedih, sms beliau menambah ‘duri dalam daging’ sudah keluar.

Di mana-mana malam ini, besok, lusa dan mungkin berlanjutan ke tempoh masa relatif panjang, andaian-andaian apa selanjutnya berlaku dalam UMNO dan politik negara akan bertali arus muncul. Tidak ada siapa boleh mendakwa andaian mereka itu akhirnya nanti berakhir dengan kenyataan. Kenapa?

Ini kerana apa yang akan berlaku selepas ini terletak di tangan pihak yang terlibat – pihak pembuat keputusan (ahli UMNO sendiri khususnya penjawat jawatan), pihak-pihak yang mempunyai pengaruh, solusi daripada intelektual ekoran mood semasa yang didakwa terbuka, faktor media yang mahu mencorak keadaan, dan sehalus mana taktikal parti di luar UMNO mengambil peluang juga tidak boleh diketepikan dll.

Penganalisis bebas (sejauh mana?) akan mentafsirkan berita ini sangat dramatik. Apakah :

i. tindakan Mahathir semata-mata kasihnya pada parti

ii. semata-mata demi menjatuhkan presiden parti sebagai PM

iii. gabungan antara keduanya

iv. Mahathir sendiri seorang individu bermasalah

v. bukan perkara-perkara di atas

Jika Mahathir membuat tindakan itu atas alasan cintakan parti, timbul persoalan lain seperti – tidak ada lagikah kaedah lain boleh diambil yang lebih tidak membahayakan parti? Secara umum, kekuatan sebuah parti tidak akan terjejas dengan kehilangan ahlinya sukar dibuktikan.

Pada Pak Lah, beliau telah menegaskan tidak akan meletakkan jawatan. Jika selepas ini dan selepas Perhimpunan Agung UMNO pada Disember Pak Lah terus diberi kepercayaan sebagai presiden, maka sebahagian ahli parti (pengikut Mahathir) bukan lagi ahli. Sejauh mana pengaruh ahli yang keluar berkadar terus dengan sejauh mana kesannya pada parti. Tempoh masa kesan ini berpanjangan akan ditentukan pula oleh elemen lain (yang berfungsi sebagai pembolehubah) pada waktu itu.

Jika mewakili salah satu strategi semata-mata untuk menjatuhkan Pak Lah sebagai PM dan presiden parti, ia boleh dipersoalkan – apakah strategi ini tidak melanggar amalan demokrasi dalam parti? Meskipun mendakwa sudah tidak ada demokrasi (pada tafsirannya) dalam parti dibawah presiden semasa, apakah ini boleh dijadikan asas tindakan yang sama tidak demokratik diambil?

Jika Mahathir dalam kes ini pula mewakili seorang individu yang bermasalah, mungkin dalam negara tidak kekurangan pakar berkaitan untuk melakukan apa yang perlu bagi membaikpulih keadaan.

Urutan perkara yang telah cuba dipersoal di atas atau sebahagian darinya boleh jika mahu diberi perhatian untuk menyingkap pula apa perspektif anda.

1 Comment:

Anonymous said...

Saya ingin memberi pandangan terhadap kedua-dua pandangan aizam dan fikri.

1. Tindakan Mahathir adalah satu tindakan terdesak jika dilihat kepada seluruh tindakannya sebelum ini tidak menghasilkan kesan yang kuat dalam usaha menjatuhkan Pak Lah.

2. Tindakan Mahathir terbaru saya percaya tidak akan menghasilkan momentum sekuat tindakan Ku Li yang keluar UMNO lama (tidak bersama UMNO aru setelah tidak dijemput oleh Mahathir dan team A). Mahathir tidak berhasrat nak tubuhkan parti lain atau menyertai mana-mana parti politik.Orang UMNO (misalnya Cawangan Merbok) yang keluar tidak akan mempunyai platform untuk bertindak dan menyuarakan pandangan. Orang UMNO kuat bercakap, dan tidak mungkin hidup lama tanpa sebarang platform.

3. Kenyataannya Mahathir rasa tercabar apabila didesak di depan sebuah forum yang dianggotai ramai khalayak, 1200 orang. Malah, laporan The Star 20 Mei 08 menyebut si penanya adalah ahli PAS, bekas calon lawan Mukhriz di Jerlun, Ismail Awang Teh. (Laporan Berita Harian menyebut Ismail Jazali).ismail menanya kesediaan Mahathir keluar UMNO dan dijawab ya, tanpa sebarang perancangan awal.

3. Kenyataannya, Mahathir telah meletakkan anaknya Mukhriz dalam keadaan terdesak. Shahrir Samad telah meminta Mukhriz mengikut seruan bapanya untuk meletak jawatan dalam UMNO.

4. Saya bersetuju dengan pandangan Aizal Ramli yang menyatakan bahawa dari segi personaliti, Mahathir tidak berbeza dengan Anwar, gilakan publisiti. Beliau tidak selesa tanpa suluhan dari media. Dengan berbuat demikian, Mahathir mendapat fokus semula. Misinya berjaya.

4. Mahathir tidak sayangkan UMNO sebenarnya, sebab itu beliau telah hapuskan UMNO asal. Beliau juga telah dua kali keluar dari UMNO.

Jadi, rumusan saya, segala tindakan Mahathir selama ini bukanlah disebabkan sayang beliau kepada UMNO, tetapi atas rasa 'fokus diri' yang sebesar-besarnya. Segala tindakannya mencerminkan kebesaran dirinya, bukan UMNO.

Dengan itu, pada pendapat saya, keluarnya Mahathir akan mengukuhkan UMNO, dan tidak akan menghancurkan parti ini.

Seman Wau Bulan