21 May, 2008

Mahathir dan Peranan Seorang Negarawan (bahagian ii)

pandangan Umar Zain

DALAM majalah bulanan ‘Reader Digest’ April 2008, diselitkan satu tajuk yang menarik 'Can These Gurus Save The World? Ia berkenaan usaha seorang billionaire kapal terbang tambang murah British, Sir Richard Bronson untuk mengumpulkan tokoh-tokoh dunia untuk membentuk satu ‘tata baru dunia’. Objektif terakhirnya ialah sebuah dunia yang lain dari dunia hari ini, lebih aman dan adil untuk semua.

Menarik perhatian ialah keriteria yang dicadangkan oleh Scilla Elworthy, pengasas Oxford Research Group yang digaji oleh Virgin Airlines untuk menyenaraipendeknama-nama negarawan ke dalam pertubuhan tersebut. Kriteria utamanya ialah mereka tidak lagi terlibat dengan politik, tiada personal agenda, tidak berkepentingan atau berat sebelah. Selain itu, mereka hendaklah menunjukkan satu tahap integriti yang tinggi, dan mendapat penghormatan dan kepercayaan antarabangsa, serta mempunyai reputasi 'tidak bersifat memaksa' sewaktu kepimpinannya ke atas sesebuah negara atau pertubuhan.

Antara tokoh-tokoh yang telah dijemput dan melepasi saringan badan itu ialah Jimmy Carter, Nelson Mandela, Kofi Annan, Muhammad Yunus (Bangladesh), Aung San Suu Kyi, Desmond Tutu dan Lakhdar Brahimi. Adakah Tun Mahathir berada di dalam saringan mereka atau tidak bukan menjadi persoalan kepada kita. Atau, sejauh mana kumpulan ini akan berjaya di dalam misinya tidaklah diketahui.

Melihat kepada kriteria yang dicadangkan, sangat sukar rupanya memilih ‘the most elders’ di kalangan kesemua 300 statesman yang ditinjau oleh kumpulan tersebut.

Kepada saya, Dr Mahathir telah memenuhi sebahagian kriteria itu. Lagi pula, kita tidak mempunyai ramai calon yang boleh dikemukakan kepada dunia. Dr Mahathir mungkin seorang dari bilangan rakyat Malaysia yang boleh dibilang kurang dari sepuluh jari yang boleh dimasukkan ke dalam senarai elders village itu.

Bagaimanakah kita menanggapi siri-siri tindakan Dr Mahathir terhadap kerajaan semasa berasaskan kriteria yang dicadangkan itu?

Pada awal persaraannya, Dr Mahathir memang diakui dan diiktiraf negara sebagai seorang statesman. Kerajaan menganugerahkan gelaran ‘Tun’ kepada beliau atas sumbangannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri yang mentransformasikan hampir seluruh aspek wajah Malaysia.

Namun, tindakan beliau kemudiannya tidak mengembangkan sikap kenegarawanan itu, malah semakin mengecil dan terbatas skop pandangannya. Mahathir akan menjadi lebih besar tanpa permainan remeh temeh yang beliau lakukan seperti keadaan sekarang ini. Permainan seperti keluar parti, nak menjadi perwakilan atau apa-apa sahaja tindakan dalam skop kepartian menyebabkan sebahagian pemerhati politik, khususnya golongan muda menjadi muak dengan tindakan keanak-anakan seperti orang yang baru nak berjinak-jinak dengan politik.

Mahathir telah ‘melanggar sebahagian syarat atau kriteria statesman itu tadi. Beliau secara nyata telah melanggar syarat utama, di bawah kriteria ‘tidak lagi terlibat dengan politik’. Sukar hendak dipastikan komen-komen Mahathir sekarang ini berada di luar jalur ‘tiada personal agenda, kepentingan atau berat sebelah’. Walaupun secara jujur, kita perlu mengiktiraf bahawa Mahathir masih menunjukkan tahap integriti yang tinggi, dan mendapat penghormatan dan kepercayaan antarabangsa, misalnya dari negara-negara Arab dan kelompok negara-negara ASEAN.

Masih tidak terlalu lewat untuk Mahathir kembali ke pangkal jalan. Dengan terus berbuat sepertimana siri tindakan beliau sekarang, Mahathir hanya akan menambahkan kerugian kepada UMNO, negara dan paling utama orang-orang Melayu.

3 Comments:

Anonymous said...

Tapi Umar, kenapa saudara tidak berminat menjawab hujah Dr M?

Saudara tidak pergi ke blog Dr M kah?

Anonymous said...

halo hafiz,

pada saya (tidak mewakili Umar, inisiatif sendiri) Umar mengutara subjek negarawan. itu yang cuba dikaitkannya dengan tindakan Tun. sama ada subjek negarawan ini lebih pokok berbanding melawan hujah Tun atau sebaliknya, itu cerita lain saya fikir.
apa pun tkasih kerana sudi datang dan tinggalkan komen.

Anonymous said...

Kepada saudara hafiz, akan ada masanya nanti apabila idea-idea Tun akan dianalisis oleh KPPM, saya percaya.
Buat masa ini KPPM saya percaya sedang merangka jawapan ke atas personaliti Tun, bukan ideanya lagi.
Blog ini nampaknya tidak dibuat untuk berhujah dengan blog2 lain seperti chedet.com ataupun bigdotdotcom.
Tetapi saya rasa akan ada ahli-ahli kppm yang akan berhujah nanti. Salam dan terima kasih sekali lagi kepada hafiz.
Umar Zain.