23 July, 2010

Lantik Hadi Sebagai TPM

oleh Umar Zain

Intro: Jika saya menjadi Perdana Menteri sekarang ini, saya akan maafkan kesemua dosa-dosa Haji Hadi yang pernah mengkafirkan umat Melayu dan beri pengiktirafan segera kepada beliau sebagai seorang nasionalis utama dalam dekad yang amat kritikal ini. Kemaafan dan pengiktirafan ini saya, sebagai perdana menteri akan lakukan jika sekiranya...

Saya cuba cantumkan beberapa maklumat yang bertebaran di blog dan beberapa website. Antaranya laporan yang yang memuatkan saranan supaya UMNO dan PAS dibubarkan sekiranya kedua parti itu tidak dapat mencapai persetujuan untuk bekerjasama. Seterusnya satu majlis dibentuk untuk menggabungkan kedua entiti dengan menggabungkan ciri islam dan nasionalis.

Dalam pada itu, saya juga menerima satu panggilan telefon dari seorang teman di Kelantan yang bercerita betapa kritikalnya situasi hari ini. Sebagai seorang kontraktor dan juga memegang satu jawatan di peringkat bahagian, beliau yang juga seorang AJK bahagian UMNO berkata sedang menimbang untuk mencari arah baru dalam politiknya dengan memberikan statistik jangkaan pada PRU 13 nanti; sokongan Melayu pada BN-PR 50:50, Cina 90:10, India dan lain-lain 50:50. Cina akan jadi penentu jika keadaan sekarang ini berterusan.

Blog Kickdefella pula bercerita kisah lalu mengenai pertemuan Hadi dan Nasharudin mewakili PAS dengan Abdullah Badawi sewaktu era pentadbirannya bagi membentuk kerajaan perpaduan. Kickdefella memuji PAk Lah dengan meletakkan beliau sebagai negarawan tulen apabila menolak pelawaan Hadi supaya kekal menjadi PM dalam kerajaan perpaduan. Pak Lah menolaknya dengan menyatakan beliau telah bersedia menerima Najib sebagai penggantinya dan tidak mahu PAS berpecah teruk dengan idea kerajaan perpaduan.

Manakala dalam satu ucapan perasmiannya di mesyuarat bahagian UMNO Putrajaya dan di Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengingatkan ahli-ahli dan jentera UMNO suppaya jangan leka kerana UMNO sekarang semakin menghampiri penghujungnya jika tersilap langkah.

Kesemua maklumat ini nampak saling kait mengait, dengan perkara utama yang menghubungkannya ialah dua, iaitu survival Melayu sebagai pemegang kendali politik dan hanya satu cara untuk meneruskannya: perpaduan UMNO-PAS.

Negeri Perak, berasaskan huraian Kickdefella memberikan contoh sangat baik, di mana UMNO sebagai pemegang kerusi DUN terbesar tewas kepada gabungan pemilik kerusi DUN yang amat sedikit (PAS) apabila PAS dengan tergesa-gesa bergabung dengan DAP selepas PRU 12.

Blogger itu memberikan bayangan menarik bahawa pada PRU akan datang PAS tidak akan mendapat layanan mesra lagi dari DAP kerana DAP akan meletakkan calon Melayu yang lebih ramai. Dengan itu, Sultan Perak tidak ada alasan lagi menolak wakil DAP menjadi Menteri Besar yang baru.

Tidak mustahil formula negeri Perak ini akan diteruskan ke peringkat federal apabila pembangkang menyusun langkah mereka ke Putrajaya.

Kesemua usaha menghalang kemaraan mereka ini kelihatannya mencapai jalan buntu. Jika pembaca tidak berkongsi sentimen yang sama dengan penulis, sila lihat perkembangan terkini yang berlaku dalam UMNO.

Dalam satu mesyuarat UMNO di Terengganu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden yang juga TPM, seramai empat Adun yang tidak sebulu dengan ketua bahagian di situ memboikot, dan tidak menghadirinya. Siapa yang mereka lebih utamakan, UMNO Pusat yang diwakili Timbalan Presiden atau ego perbalahan sesama mereka di peringkat negeri.

Manakala di satu bahagian di Kelantan, dua mesyuarat bahagian diadakan seolah-olah ada dua ketua bahagian di situ sehingga mengundang campurtangan jawatankuasa disiplin. Di bahagian-bahagian di Selangor pun keadaannya hampir sama. Malah kita jangka akan banyak lagi bahagian-bahagian UMNO di Perlis dan negeri-negeri lain akan bergaduh demi kepentingan kumpulan dan isi perut masing-masing kumpulan.

Apa yang ingin penulis nyatakan melalui contoh-contoh di atas adalah untuk menunjukkan bahawa tidak nampak jalan bagi UMNO dalam keadaan sekarang bagi berdepan dengann pembangkang dalam PRU 13. Amat buntu, hampir tiada jalan keluar.

Ini adalah sehingga saat sekarang ini, orang-orang UMNO masih gagal melihat keluar diri masing-masing, masih melihat mereka sebuah parti yang kuat sedangkan mereka tahu keadaan yang sebenarnya sedang mereka hadapi. Namun, mereka dengan rela menyapu perasaan gelisah dan gementar mereka itu di bawah permaidani indah dengan anggapan dan angan-angan kosong bahawa semua ini akan berkekalan.

Orang-orang Melayu tetap merasa anak cucu mereka dan orang Melayu keseluruhannya akan terus mendapat bantuan kerajaan, kata mereka tanpa segan silu, walaupun mereka sedang melihat dan membaca laporan pelbagai sumber dari dalam dan luar negara mengenai kemaraan pelbagai NGO dengan desakan yang macam-macam: meritokrasi, hak asasi manusia dan liberalisasi dalam semua sektor. Dengan hilang kerusi Melayu, semua ini akan tinggal debu.

Jadi, apakah ada jalan penyelesaian kepada kebuntuan yang maha buntu ini? Ada, malangnya jawapannya hanya satu. Perpaduan UMNO-PAS.

Sebelum ini mereka pernah bersatu pada pilihanraya 1974, keputusannya sebagaimana dijangka amat berhasil. 100 peratus kerusi yang ditandingi UMNO dan PAS menang. Namun, kejadian selepasnya daj jadi sejarah, PAS dakwa mereka mendapat layanan yang tidak adil, mereka cuma diberi jawatan menteri yang menjaga hal ehwal tanah ladang.

Kita sedang melihat bahawa kedua-dua parti Melayu ini sedang berantakan. Kedua-duaya sedang bergaduah inter dan intra parti. PAS dengan krisis dalamannya antara kumpulan pro perpaduan dengan anti perpaduan, manakala UMNO bergaduh dengan masalah isi perut ahli-ahlinya.

Sudah sampai masanya kedua-dua pihak berkorban. PAS sepatutnya diberikan jawatan yang cukup tinggi, TPM, sesuai dengan pengorbanan yang bakal mereka buat. Hadi akan diberikan jawatan itu, dengan kedudukan beliau sebagai Presiden parti. Belum tentu Hadi akan mendapat jawatan itu jika PAS bergelut dalam PR.

Hadi juga akan dinobatkan sebagai hero Melayu. Sebagaimana yang ditulis Astora Jabat, walaupun Hadi tak suka istilah nasionalis, tetapi orang Melayu akan terhutang budi kepadanya, dan beliau akan dikenang dalam lipatan sejarah yang kekal sebagai penyelamat ulung umat Melayu sekurang-kurangnya pada masa ini, mungkin juga buat selama-lamanya sebagai seorang nasionalis unggul. Dan saya juga, jika menjadi Perdana Menteri akan maafkan semua dosa masa lalu Hadi.

Mungkin juga pada masa itu nama tidak penting lagi... apa ada pada nama. Nama UMNO, PAS mungkin juga sudah tidak penting. Parti hanya alat, sebab yang penting adalah tujuan. Parti hanya kenderaan, yang penting destinasinya.

0 Comments: