06 July, 2008

Semua Pihak Perlu Bantah Campur Tangan Asing

Oleh: Umar Zain


Laporan beberapa portal berita minggu lepas, termasuk Bernama melaporkan tentang kritikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS terhadap usaha campurtangan pihak luar terhadap proses keadilan di Negara kita.

Salahuddin Ayub merujuk kepada kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey yang berkata negara kuasa dunia itu menentang siasatan atau pendakwaan ke atas Anwar yang bermotifkan politik. Sebelum siasatan penuh dijalankan, pihak Amerika Syarikat dengan cepat menyimpulkan siasatan tersebut bermotifkan politik.

Salahuddin berkata sebagai anggota Parlimen dan rakyat Malaysia, beliau tetap bersikap konsisten dan dalam isu ini. Sewajarnya negara luar tidak perlu campur tangan dan cuba untuk mengajar negara ini. "Biarlah kita di Malaysia yang menyelesaikannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di beberapa hari lalu.

Kenyataan Salahuddin itu wajar mendapat dokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, apa lagi jika didorong soal-soal strategik kepartian. Ini kerana kedaulatan Negara memerlukan sokongan dan dokongan semua rakyat. Ini perlu melampaui soal kepartian yang dibatasi oleh kepentingan yang sempit.

Dalam hal ini, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) berpandangan bahawa sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk melatih rakyat Malaysia untuk ‘berbaik atau berkonflik’ sesama mereka dengan melihat tahap keseriusan sesuatu isu.

Kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS itu menunjukkan contoh yang baik bagaimana konflik antara parti pemerintah dan pembangkang tidak mempengaruhi beliau untuk menurut saja rentak permainan aliran politik yang diwakili.

Mungkin akan ada pihak yang terlupa bahawa dalam masa tidak sampai seminggu, terdapat dua isu melibatkan penggadaian kedaulatan Negara. Pertama usaha Penasihat parti PKR mendapatkan perlindungan keselamatan (dan politik) di kedutaan Turki diikuti dengan teguran Tom Casey itu.

KPPM ingin mengingatkan semua pihak bahawa teras kedaulatan Negara jangan sesekali digadaikan. Sekiranya rakyat mula bersikap liberal dalam perkara ini, tidak mustahil pihak luar akan memandang rendah soal kedaulatan yang lain seperti kedaulatan wilayah, kedaulatan rakyat dan kedaulatan pemerintah dan undang-undang. Rakyat perlu diingatkan usaha sedemikian bakal mengundang malapetaka kepada Negara.

Elok kita semua mencontohi Salahuddin. Beliau tahu, bila mana isu melibatkan kedaulatan Negara, Negara perlu didahulukan. Alangkah baiknya jika kematangan ini diterapkan kepada lebih ramai ahli politik samada kerajaan mahupun pembangkang.

1 Comment:

Anonymous said...

Belalang amat bersetuju dengan pandangan Umar Zain kerana belalang merasakan bahawa kedaulatan negara mesti di pelihara dan di jaga oleh setipa rakyat Malaysia yang berjiwa semangat cintakan negara. Sejarah telah memperlihatkan di mana berlaku campurtangan kuasa asing seperti Perjanjian Pangkor 1874 di mana Sir Andrew Clarke di pihak Inggeris dan Raja Abdullah ibni Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah. Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak - satu kesilapan yang telah dilakukan oleh Raja Abdullah dan membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu. Perjanjian ditandatangan di atas kapal HMS Pluto.

Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang bersemayam di Tanjong Belanja, Parit dari pangkat Sultan dan membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen seribu ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.(Pejabat DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan)Dengan ini kuasa Sultan ibarat telah di londehkan dengan hanya memberi kuasa pencen terhadap beliau dan ini membuktikan dan patut di ambil iktibar kepada semua rakyat supaya perkara ini tidak lagi di jadikan ulangan... Semoga pembaca dan peminat politik yang budiman prihatin terhadap kedaulatan negara dan jangan kerana kepentingan beberapa individu kedaulatan negara dapat di londehkan dengan mudah..