22 July, 2008

Pas Terpinggir dalam Pakatan Rakyat

Pandangan Umar Zain


Isu ‘londeh seluar’ oleh sebuah kumpulan muzik under ground dalam perhimpunan Protes beberapa waktu lalu perlu dianalisis dari pelbagai sudut. Pengamatan yang cetek hanya akan melihat isu ini sekadar isu moral sekumpulan anak muda yang terlepas dari tata susila bangsa Melayu.

Perkara yang lebih mendalam timbul apabila kita menggunakan premis pemikiran bahawa tidak mungkin parti PAS akan bersetuju dengan persembahan tersebut jika mereka dimaklumkan akan format persembahan itu lebih awal.

Kita perlu sedari hakikat bahawa perhimpunan yang berhasrat menghimpun sejuta rakyat ini dianjurkan oleh ketiga-tiga parti sebagai tulang belakang Pakatan Rakyat. Dengan itu, kelihatan apa yang terjadi dalam perhimpunan itu bukannya satu bentuk permuafakatan, tetapi satu perancangan yang dilakukan oleh satu pihak yang dominan dalam pakatan tersebut.

Kini PAS tidak mahu dibabitkan sama dengan perhimpunan itu. Melihat kepada kenyataan Presidennya dalam laman rasmi mereka, kelihatan bahawa kaedah perhimpunan itu tidak mendapat persetujuan. Mengapakah mereka tidak menyatakannya lebih awal?

Malah, Pemuda PAS Kedah dan Pahang membuat kenyataan yang lebih keras apabila menyatakan bahawa ‘ kehadiran ahli Pemuda PAS beramai-ramai ke perhimpunan itu adalah untuk ditipu oleh penganjur Protes dan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan harga minyak dan barangan telah dipermainkan.’

Pemuda PAS Pahang seterusnya mendesak Jawatankuasa Protes meletakkan jawatan dan bertanggung jawab di atas aksi 'tunjuk punggung' di Pentas Kelana Jaya.

Persoalan yang muncul dari adegan ‘londeh seluar’ ini nampaknya lebih besar iaitu ‘adakah PAS di dalam Pakatan Rakyat sekadar melukut di tepian? Sekiranya pandangan PAS tidak diambil kira disebabkan pemimpin Pakatan Rakyat mempunyai agenda yang lebih nasional, maka nampaknya PAS perlu membuat penilaian semula.

Pilihannya mungkin samada meningkatkan peranan dan kedudukan mereka dalam kerjasama Pakatan Rakyat, mahupun keluar menjadi entiti yang tersendiri sebagaimana kedudukan mereka selepas pilihan raya 1999.

Pilihan lain ialah mencari gabungan lain yang lebih sesuai dan lebih dekat dengan objektif perjuangan PAS. Mungkinkah penggabungan dengan UMNO, kerana ternyata perjuangan DAP dan PKR terlalu jauh untuk digapai oleh PAS.

Ambil sahaja adegan londeh seluar sebagai contoh. Menjemput kumpulan under ground di bawah urus setia Hishamuddin Rais untuk membuat persembahan sudah semestinya tidak di bawah kawalan PAS yang menginginkan seumpama persembahan kumpulan nasyid Raihan atau Ustaz Akil Hayy yang lebih menggambarkan cita rasa parti itu.

Sekali pun Hishamuddin Rais hampir menangis dengan kejadian tersebut, kejadian ini bukanlah berlaku secara kebetulan. Malah, ketua kumpulan Carburator Dung menyatakan bahawa telah lima tahun mereka membuat persembahan londeh seluar dalam pertunjukan under ground mereka.

Hakikat yang tersirat ialah PKR mahukan sebuah persembahan yang mencerminkan unsur ‘kebebasan anak muda’ yang menjadi simbol bahawa PKR meraikan anak-anak muda, sedangkan PAS tetap dianggap parti konservatif yang ingin mengekalkan nilai-nilai murni dan kebebasan yang dibatasi nilai-nilai Islam.

Kritikan yang lebih berhemah dan bersimpati kepada dilema PAS dibuat oleh Abdul Rahman Koya dalam sebuah laman web. Komentar beliau bertajuk ‘Lessons for PAS in Democratic Politics’ sempena 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di lima negeri menyebut bahawa ‘PAS may be the biggest loser in terms of sacrificing its commitment and identity so as not to offend the sensitivities of its fellow coalition members’.

Menurutnya lagi, sekalipun PAS dianggap ‘king maker’ namun disebabkan kegagalannya dalam mengawal permainan dalam Pakatan Rakyat menyebabkan Pas terpaksa melupakan objektif utama kewujudannya.

Kini, pilihan terletak di tangan PAS, sebuah parti yang dianggap paling teguh dan berpotensi berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat. Apakah mereka akan meneruskan corak permainan sekarang dengan menjadi under dog dalam kerjasama longgar itu atau cuba menguasai padang permainan dengan menjadi penentu kepada aliran masa depan Pakatan, sesuai dengan kekuatan sokongan yang ada padanya.

2 Comments:

Anonymous said...

Umar

Urusan politik berparti di sempadan Tanah Melayu ini relatif baru. Belum pun sampai 1 abad. Dengan itu parti2 politik yang bergerak secara rasmi di sini boleh disifatkan baru belaka.

Tapi berpolitik (yang berkait dengan kuasa) sudah termasuk dalam 'gejala tua' dalam urusan hidup manusia jika diambil teks politik yang muncul sebelum masehi sebagai ukuran.

Sepanjang tempoh 2 ribu tahun lebih itu pelbagai peristiwa politik muncul silih berganti. Ramai berpandangan tidak sedikit darinya hanyalah 'aksi pengulangan'. Tinggal lagi konteksnya berbeza yang membawa pembolehubah2 berbeza.

Saya tidak pasti apakah boleh dikatakan politik kepartian dalam sempadan negara kita ini begitu kompleks. Jika dikatakan kompleks, mungkin urusan dan huraian terhadapnya keluar/melampaui batasan logik umum. Misalnya logik umum mengatakan 'bila makan nasi, perut jadi kenyang.

Komen ini bernada pesimis? Ada kalanya begitu. Sebaik bangun esok pagi mungkin lain pula..ha ha ha

Cerita lain, blog ini http://jebatmustdie.wordpress.com/ ok jugak.

Anonymous said...

umar, ini komen ke 2

mungkin ada, mungkin tidak diwarwarkan meluas.

apakah 'justifikasi agung' parti PAS untuk meneruskan partinya duduk bersama dalam kumpulan selepas PRU12 diberi nama Pakatan Rakyat? suatu justifikasi yang tidak sama sekali berpaling dari aliran syumul tafsiran mereka (PAS) selama ini?

paling-paling yang diwarwarkan ialah: PAS menang bergaya PRU12 hasil dari undi ahli PKR dan orang Cina yang dikaitkan dengan penyokong DAP.

kejap. apakah hal ini 100% benar? berapa kerat ahli PKR? berapa ramai hardcore DAP? jadi darinya, sejauh mana keratan ahli PKR dan hardcore DAP menjadi penyumbang undi signifikan pada PAS?

tidakkah faktanya ialah 'pengundi-pengundi yang pangkah dacing pada 2004 telah berubah citarasa dengan memangkah PAS-PKR-DAP untuk kemenangan bergaya PAS-PKR-DAP PRU12? undi mereka inilah undi signifikan!

fakta terpacak di dahi - jumlah ahli PAS, keratan ahli PKR dan hardcore DAP (majoriti mereka ini tidak akan berganjak) bukan undi penentu Hari Ini Dalam Sejarah untuk ketiga parti mereka 8 Mac baru-baru ini.

tentang bagaimana ia boleh berlaku pula, itu cerita lain.