03 June, 2008

Politik Parti dan Mimpi Liberal

pdgn Fikri Hanipi

Gebang semasa menyentuh politik berparti masih belum surut. Apakah orang Melayu, dalam negara warisan moyang mereka ini, terlalu lebih teruja pada politik berparti semata-mata? Apakah mereka sudah kering ghairah bergebang di sana, bergebang di sini tentang perkara-perkara asas yang akan ‘membina’ orang Melayu dalam hubungannya dengan politik? Apakah mereka juga sudah pun lupa, atau kala ini tidak peduli lagi, pada kesudahannya untuk apa mereka berpolitik?

Terkini berita Ezam rujuk balik ke parti asalnya, UMNO. Ada ketika intrig politik berparti ini mengatasi aspek kehidupan negara yang lebih menyeluruh. Ambil contoh langkah diambil kerajaan semasa dalam mengurus subsidi minyak. Pada pencandu politik berparti, topik Ezam lebih kencang dianalisis, berbanding hal ehwal subsidi ini.

Di Selangor, negeri di bawah usahasama PAS, DAP dan PKR yang menyenarai hitam apa-apa program di bawah rujukan Islam Hadhari, ramai berpendapat ia juga lebih kepada permainan politik berparti.

Katakan yang diharam itu ialah :

i. sebarang anasir yang mendakwa kefahaman agama merekalah paling benar, atau

ii. sebarang anasir yang mendakwa hanya pihak mereka mahukan Islam-pihak lain tidak mahu.

Jika babak di atas (i &ii) menjadi keutamaan tindakan mengharam dan tanpa bertangguh pengharaman ke atasnya dikuatkuasa, rakyat tentu melihat suatu ufuk baru telah muncul di sebuah negeri di bawah kerajaan baru. Mungkin baru benar-benar menepati gabungan selepas PRU12 diberi nama Pakatan Rakyat yang pro-rakyat.

Tetapi jika pakatan ini masih merelakan anasir mendakwa paling benar/hanya mereka sajalah mahukan Islam berterusan dibangkit-bangkit menjadi modal politik, maka Pakatan Rakyat katanya pro-rakyat hanya pro (ambil kes ini sebagai bukti) membuat rakyat dihidang lagi dengan suatu fahaman yang sudah lama luput tarikhnya dalam sejarah.

(suatu ironi pengharaman program Islam Hadhari telah dimaklum oleh Hasan Ali, seorang wakil PAS dalam kerajaan negeri, di mana menjadi sesuatu yang mustahil jika Hasan Ali tidak pernah mendengar dakwaan daripada para pemimpin berpengaruh dalam partinya mendakwa hanya PAS yang mahukan Islam-pihak lain tidak mahu, atau mungkinkah Hasan Ali sendiri berpendirian Islam Hadhari lebih sesat berbanding pegangan terhadap fahaman mengatakan hanya kelompok kita paling benar dalam bab agama? jika mungkin itu sememangnya kenyataan pada diri Hasan Ali jadi apa yang ironi di sini bukan lagi suatu ironi)

Di satu pihak lain pula, kelompok yang mendakwa tidur mereka diwarnai mimpi-mimpi liberal di tengah kota KL menggelar diri mereka kelompok masyarakat sivil, giat mencanang ‘himpunan nilai hidup universal’ yang pada mereka tanpa berkecuali harus dipeluk oleh seluruh rakyat Malaysia untuk menjamin kewujudan corak hidup beruniversal itu (sejagat).

Bagaimana rupa anak musang nilai universal itu sudah tentulah para ibu dan bapa di kampung yang mencorak hidup sebagai pekebun pisang dan melakukan transaksi mudah di pasar terkial-kial memikirkannya. Alam hidup mereka bukan dicorak oleh kelompok imperialis moden dari New York, misalnya.

Sebagai dedikasi untuk kelompok ini, komen ringkas diterbit oleh seorang peminat hal ehwal sosial-politik negara (nama hantunya – perayau) mungkin membuka paling-paling tidak salah satu perkaitan. Komen perayau :

civil society? apa anak musang apa 2 perkataan ini dalam kamus Melayu di sini? ada juga dengar civil society pun berkumandang di negara jauh Cuba untuk jatuhkan kerajaan revolusi sana. jika konsep civil society diterjemah jadi ‘masyarakat madani’, sapa yang bawa, sapa yang jemput masuk ke Tanah Melayu peninggalan moyang saya?

sebahagian golongan menengah semasa giat berfungsi menjadi wakil arus perdana yang menciplak dan mendendang konsep-konsep hidup dakwa mereka universal. jika ditanya apakah civil society itu universal, dengan tegas sudah tentu kepala mereka akan mengangguk setuju. mungkin ditambah penanya soalan bertanya soalan bodoh. mungkin diketawakan jika soalan itu tiba-tiba timbul oleh si mamat entah dari mana dalam kelompok majlis peguam.

kawan, apa itu universal? sejak bila hidup dalam sebuah negara yang wujud dan jelas rantaian warisannya perlu terhegeh-hegeh memeluk, menelan konsep-konsep hidup luar dari alam sempadannya? yang kononnya adil? dulu ya, kebenaran disumbat dalam otak nenek moyang saya. kononnya demokrasi, adil maksudnya - natijahnya berteriak-teriak menuntut hak. gila! tuntut hak pada siapa?

individu kampungan yang jarang-jarang sekali ke bandar akan terhegeh-hegeh menghayun tangan waktu keliling bandar, sampai berpeluh-peluh (maklum saja bukan biasa dengan bahang bandar). kategori individu kampungan ini SAMA dengan individu yang asyik mendendang civil society terhegeh-hegeh bersilat tangan ke atas dan terkumat-kamit mulutnya, sampai berpeluh-peluh juga berpusing cakap mengulang perkara sama (maklum saja idea didengung idea ciplak dan hanya mengikut kandungan skrip orang di luar sempadan sana). *

Selayang pandang yang cuba dibawa sepanjang tulisan ini umumnya tersisih dari kelompok pandangan popular semasa. Jauh sekali beruniversal. Sarat dengan retorik! Tidak mustahil timbul anggapan demikian.

Seorang penulis pula, yang menikmati estetika hidup menulis, dia hanya duduk dan menulis. Dia menafikan hidupnya untuk menulis perkara-perkara dalam pengetahuannya sudah sedia pun ditulis. Adakah ada cara lain lagi untuk menikmati estetika hidup ini, selainnya?

* komen perayau dipetik dari - http://bigdogdotcom.wordpress.com/2008/05/03/court-of-public-opinion-is-the-right-tool-within-a-civil-society/

1 Comment:

Anonymous said...

civil society- terjemahannya masyarakat sipil( Indonesia) atau sivil, jika diMalaysia. Orang Malaysia beri nama masyarakat madani.Di Indonesia juga disebut nama.
Pergerakan masyarakat sivil berkehendakkan kerajaan yang diimbangi oleh hal-hal di luar kerajaan-seakan-akan mereka juga turut berkuasa. Salah satu cirinya seperti memberi peluang kepada NGO untuk memegang peranan tertentu dalam kerajaan dengan mempunyai bidang kuasa tertentu.
Mahu tidak mahu di peringkat antarabangsa gerakan ini sudah pun begityu kuat-Greenpeace misalnya, atau AmnestyInternational amat kuat menekan negara-negara miskin kecuali AS dan sekutiu-sekutunya.
Nilai yang digunapakai mestilah nilai dengan kayu ukur sejagat - nilai dengan standard Amerika dan PBB.
Orang Melayu sebagai contoh seronok memeluk idea baru ini sehingga sanggup mencemuh segala yang berbentuk perlindungan, toingkat dan sebagainya.
Hasrat pihak antarabangsa hendak menekan sebarang perkara yang berbentuk perlindungan, tapi nampaknya mereka tak perlu berbuat demikian kerana rakyat telah hampir menerima idea tersebut, kononnya atas nama kemajuan.Kita hebat dalam bab meniru buta2.




Pendokong dari kalangan Islam akan mencari-cari nas berdasarkan ayat-ayat Quran untuk menghalal atau mengislamkan konsep masyarakat sivil ini, lalu jadilah madani atau masyarakat bertamadun.
Sahih lah ia import dari luar, macam juga seluar dockers mahupun kopiah dan jilbab.


Dengan kata lain, saya suka dengan idea baru Hanipi ni.
SemanWauBulan.