06 June, 2008

Minyak, Corak Hidup dan Tidak Lupa Politik

komentar Fikri Hanipi

Berita di TV sekejap tadi memberitahu semua rakyat Malaysia perlu menghadapi kenyataan ini. Pihak kerajaan bukan mahu membuat kenaikan, tetapi tidak dapat mengelak. Rakyat perlu membuat pengubahsuaian corak hidup.

Kecuali berita menyebut alasan kerajaan, dua perkara lain – rakyat perlu hadapi kenyataan dan perlu mengubahsuai corak hidup – tidak ada apa-apa nilai berita di dalamnya. Apakah wartawan yang menulis berita itu berandaian penonton yang mengikuti berita tidak tahu tentangnya?

Sebahagian orang mungkin menganggap menyebut dua perkara itu satu penghinaan di tengah-tengah kejutan yang sangat perit. Malah ada yang longlai lutut.

Untuk apa mahu dibising-bising lagi perlu hadapi kenyataan? Peringatan pak kadok apa macam ini? Sama ada mahu hadapi atau tidak, kenyataan tetap kenyataan, tidak berubah. Bila ingin meneruskan hidup, akan berdepan dengan kenyataan. Kecuali memilih mati.

Tentang perlu mengubahsuai corak hidup itu untuk siapa? Apakah dipukul rata untuk semua atau sebahagian yang memang dalam keadaan boleh membuat penyesuaian? Tidakkah terfikir oleh pihak-pihak terbabit jika penyesuaian dilakukan ada sebahagian lagi akan menempuh hari-hari yang perit setiap hari? Sentiasa dalam keadaan tertekan dan terdesak? Bayangkan bagaimana mereka boleh menguruskan keluarga dalam situasi ini?

Tentu saja ramai menaruh harapan agar sebahagian yang berada dalam situasi ini kecil peratusannya. Simpati pada mereka. Namun simpati bukan boleh mengubah keadaan, bukan?

Adakah agensi-agensi berkaitan dalam kerajaan sudah siap dengan angka peratusan ini? Atau baru dalam langkah membuat banciannya? Atau belum ada apa-apa memandangkan belum ada pihak-pihak berkaitan tampil membuat makluman tentangnya. Menteri?

Ekoran kenaikan mendadak melebihi 40% ini berita TV, tulisan di media cetak dan online sibuk mengulas dan membuat perbandingan. Yang bersama dengan keputusan kerajaan akan mengulang alasan kerajaan bahawa kenaikan harga minyak dunia menyebabkan kerajaan tidak boleh memberi (bermaksud menambah) subsidi lagi untuk mengekalkan harga minyak di paras sebelum kenaikan.

Kumpulan bersama kerajaan ini juga akan menampilkan data-data menunjukkan paras harga dalam negara kita masih rendah berbanding negara Asean lain. Mereka juga menekankan angka bayaran balik bagi pemilik kenderaan pada tahap cc tertentu. Tinggal lagi mereka tidak pula membuat analisis sejauh mana impak jumlah angka ini dalam tempoh hidup 12 bulan.

Kumpulan yang tidak bersama langkah kerajaan pula membangkitkan isu kita adalah negara pengeluar minyak, jadi kenapa kita perlu bayar mahal? Keuntungan besar Petronas dijadikan sandaran. Menteri di pihak kerajaan ada menjawab tentang isu ini. Menurutnya, kita tidak boleh menggunakan wang Petronas itu hanya untuk keadaan semasa. Ia perlu menjadi pelaburan untuk anak cucu kita di masa depan. Lagi pun katanya kita hanya tinggal beberapa tahun saja lagi sebelum telaga minyak kita habis.

Kumpulan ini turut melampirkan data-data negara pengeluar minyak dunia di mana paras harga seliter di negara mereka jauh lebih rendah berbanding negara kita. Jadi dipersoalkan, kenapa di negara pengeluar minyak lain masih boleh menetapkan harga rendah meskipun harga minyak di pasaran dunia sangat tinggi hari ini?

Sepertimana pihak kerajaan tidak dapat mengelak menaikkan harga minyak, kerajaan juga tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan pihak yang pro mahu pun bukan pro langkah itu. Mungkin jika ditanya kepada yang pro sekalipun sama ada mereka mahukan harga minyak dinaik atau tidak, jawapan yang keluar daripada mulut mereka tidak mungkin mahu harga minyak dinaik. Ini termasuklah wartawan yang menulis berita di TV tadi.

Kesan politik darinya juga tidak mungkin dapat dielak. Sejauh mana kebijaksanaan kerajaan semasa menguruskannya, mempunyai hubungan langsung yang berlawanan dengan sejauh mana kesan politiknya.

1 Comment:

Anonymous said...

Minyak Oh Minyak...

Minggu lepas negara kita telah di gemparkan dengan kenaikan harga minyak sehingga 40% ini menjadikan Malaysia adalah setara dengan negara seperti Thailand,namum persoalan sekarang kenapa Malaysia negara pengeluar minyak mengalami krisis kenaikan harga minyak?.Sudah menjadi kebiasaan apabila sudah mengalami piliharaya negara ini akan di landa krisis kenaikan harga barangan.Apabila harga minyak sudah naik secara tidak langsung barangan lain akan naik dan ini akan mengakibatkan bebanan rakyat khususnya kakitangan kerajaan peringkat bawahan akan mengalami kesukaran untuk meneruskan survival hidup. Kerajaan mestilah memikirkan golongan yang berpendapatan rendah.Kerajaan tidak sepatutnya membandingkan minyak dengan Singapura kerana negara ini adalah tiga kali ganda pendapatan rakyat Malaysia maka kerajaan Malaysia harus bertanggungjawab dalam memberi subsidi minyak kepada rakyatnya sendiri. Jangan bergurau dengan minyak kerana ramai kepimpinan negara telah jatuh kerana minyak seperti Suharto dan seangkatan dengannya.
Kita harap kerajaan mestilah dengar rintihan golongan berpandapatan rendah dan tiada guna adakan seminar untuk menangani harga minyak kerana tiada keputusan yang relevan yang dapat di putuskan cuma membazirkan masa sahaja.(POL LEH)