26 October, 2010

JEMPUT TUN DAIM UNTUK NEGARA PERNIAGAAN

JEMPUT TUN DAIM UNTUK NEGARA PERNIAGAAN

MEMBACA Tulisan Tan Sri Dr Nordin Kardi dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia bertajuk ‘Menukar Negara Politik’ kepada Negara Perniagaan’ pada 2 September lalu, Kelab Penyelidik Politik Malaysia (KPPM) ingin mencadangkan beberapa kaedah pelaksanaan, jika kerajaan dan rakyat bersetuju bergerak ke arah itu.

KPPM turut menerima maklum balas daripada rakan-rakan yang tidak bersetuju dengan idea berkenaan kerana katanya terlalu radikal, idealistik dan tak sesuai diamalkan kerana kerajaan Negara ini berbentuk raja.

“Di mana kedudukan raja jika Negara mahu bergerak ke arah itu? Soal mereka sambil menambah, “Negara perniagaan akan berorientasikan keuntungan, bukan lagi bersandarkan kebajikan ?”

Oleh sebab rakan-rakan berkenaan terkepung dengan idea Malaysia yang sedia ada, mereka tidak nampak kemungkinan lain untuk memaruahkan dengan menggerakkan kerangka lama magi meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih istimewa dan merdeka.

Tidakkah mereka membaca bagaimana Negara-negara sebelum perang dunia pertama dijajah, bukankah melalui syarikat yang dinaungi raja seperti East-India Company?
Secara kasar begitulah sepatutnya ‘negara perniagaan’ yang difahami KPPM, walaupun mungkin Dr Nordin tidak bersetuju!

Janganlah kita terlalu naïf bila menyebut perniagaan akan terwajah muka-muka hodoh si tamak, penipu, pendosa semata-mata kerana dalam segi lain, perniagaanlah yang memakmurkan rakyat dan memungkinkan Negara dapat membuat kebajikan.

Tanpa mahu membalas lebih panjang hujah yang tidak bersetuju dengan idea Negara perniagaan, KPPM lebih berminat untuk memikirkan bagaimana untuk merealisasikan idea berkenaan.
Pertama, jemput balik tokoh yang boleh menjayakan idea ini dan kepada kami di KPPM, selepas meneliti pelbagai factor dan latar belakang, Tun Daim Zainuddin merupakan salah seorang yang layak untuk menjayakan hasrat ini.

Beliau telah terbukti Berjaya bukan sahaja menyelamatkan ekonomi Negara ketika dalam tenat, bahkan mampu menjadi dan membeli bank-bank di luar Negara.
Kami cenderung mencadangkan untuk kerajaan melantik beliau sebagai penasihat utama dan yang paling ideal Timbalan Perdana Menteri kedua, iaitu kuasa eksekutif yang agak tinggi bagi membolehkan cita-cita ini dilaksanakan secara serius.

Kedua, Pengalaman dan kepakaran Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk menjayakannya kerana beliau antara pemikir yang hands-on dan faham mekanisme politik dan ekonomi bernafas.

Ketiga, data kedudukan Negara dan ancaman perlu difahami oleh semua rakyat bahawa jika tiada sesuatu yang revolusional dilakukan, Negara iaitu rakyat terbanyak akan dihambakan oleh IMF/Bank Dunia/WTO/AFTA dan badan bukan kerajaan lain.

Keempat, kempen mengajak rakyat untuk berfikir ke luar kotak Malaysia perlu dilaksanakan supaya rakyat juga sedar betapa bergaduh sesame sendiri tidak akan menguntungkan Negara, sekali gus menyokong gagasan ini. Mekanismenya boleh dibuat melalui ala-Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara.

KPPM yakin sementara Malaysia masih ada pelbagai jenis dana dan kepakaran, Malaysia akan mampu meluaskan sayap dan mengatasi Tamasek dan lain-lain individu yang melakukan perniagaan antarabangsa.

Ariff Wahab
Setiausaha Agung KPPM
www.mykppm.blogspot.com

23 July, 2010

Lantik Hadi Sebagai TPM

oleh Umar Zain

Intro: Jika saya menjadi Perdana Menteri sekarang ini, saya akan maafkan kesemua dosa-dosa Haji Hadi yang pernah mengkafirkan umat Melayu dan beri pengiktirafan segera kepada beliau sebagai seorang nasionalis utama dalam dekad yang amat kritikal ini. Kemaafan dan pengiktirafan ini saya, sebagai perdana menteri akan lakukan jika sekiranya...

Saya cuba cantumkan beberapa maklumat yang bertebaran di blog dan beberapa website. Antaranya laporan yang yang memuatkan saranan supaya UMNO dan PAS dibubarkan sekiranya kedua parti itu tidak dapat mencapai persetujuan untuk bekerjasama. Seterusnya satu majlis dibentuk untuk menggabungkan kedua entiti dengan menggabungkan ciri islam dan nasionalis.

Dalam pada itu, saya juga menerima satu panggilan telefon dari seorang teman di Kelantan yang bercerita betapa kritikalnya situasi hari ini. Sebagai seorang kontraktor dan juga memegang satu jawatan di peringkat bahagian, beliau yang juga seorang AJK bahagian UMNO berkata sedang menimbang untuk mencari arah baru dalam politiknya dengan memberikan statistik jangkaan pada PRU 13 nanti; sokongan Melayu pada BN-PR 50:50, Cina 90:10, India dan lain-lain 50:50. Cina akan jadi penentu jika keadaan sekarang ini berterusan.

Blog Kickdefella pula bercerita kisah lalu mengenai pertemuan Hadi dan Nasharudin mewakili PAS dengan Abdullah Badawi sewaktu era pentadbirannya bagi membentuk kerajaan perpaduan. Kickdefella memuji PAk Lah dengan meletakkan beliau sebagai negarawan tulen apabila menolak pelawaan Hadi supaya kekal menjadi PM dalam kerajaan perpaduan. Pak Lah menolaknya dengan menyatakan beliau telah bersedia menerima Najib sebagai penggantinya dan tidak mahu PAS berpecah teruk dengan idea kerajaan perpaduan.

Manakala dalam satu ucapan perasmiannya di mesyuarat bahagian UMNO Putrajaya dan di Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengingatkan ahli-ahli dan jentera UMNO suppaya jangan leka kerana UMNO sekarang semakin menghampiri penghujungnya jika tersilap langkah.

Kesemua maklumat ini nampak saling kait mengait, dengan perkara utama yang menghubungkannya ialah dua, iaitu survival Melayu sebagai pemegang kendali politik dan hanya satu cara untuk meneruskannya: perpaduan UMNO-PAS.

Negeri Perak, berasaskan huraian Kickdefella memberikan contoh sangat baik, di mana UMNO sebagai pemegang kerusi DUN terbesar tewas kepada gabungan pemilik kerusi DUN yang amat sedikit (PAS) apabila PAS dengan tergesa-gesa bergabung dengan DAP selepas PRU 12.

Blogger itu memberikan bayangan menarik bahawa pada PRU akan datang PAS tidak akan mendapat layanan mesra lagi dari DAP kerana DAP akan meletakkan calon Melayu yang lebih ramai. Dengan itu, Sultan Perak tidak ada alasan lagi menolak wakil DAP menjadi Menteri Besar yang baru.

Tidak mustahil formula negeri Perak ini akan diteruskan ke peringkat federal apabila pembangkang menyusun langkah mereka ke Putrajaya.

Kesemua usaha menghalang kemaraan mereka ini kelihatannya mencapai jalan buntu. Jika pembaca tidak berkongsi sentimen yang sama dengan penulis, sila lihat perkembangan terkini yang berlaku dalam UMNO.

Dalam satu mesyuarat UMNO di Terengganu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden yang juga TPM, seramai empat Adun yang tidak sebulu dengan ketua bahagian di situ memboikot, dan tidak menghadirinya. Siapa yang mereka lebih utamakan, UMNO Pusat yang diwakili Timbalan Presiden atau ego perbalahan sesama mereka di peringkat negeri.

Manakala di satu bahagian di Kelantan, dua mesyuarat bahagian diadakan seolah-olah ada dua ketua bahagian di situ sehingga mengundang campurtangan jawatankuasa disiplin. Di bahagian-bahagian di Selangor pun keadaannya hampir sama. Malah kita jangka akan banyak lagi bahagian-bahagian UMNO di Perlis dan negeri-negeri lain akan bergaduh demi kepentingan kumpulan dan isi perut masing-masing kumpulan.

Apa yang ingin penulis nyatakan melalui contoh-contoh di atas adalah untuk menunjukkan bahawa tidak nampak jalan bagi UMNO dalam keadaan sekarang bagi berdepan dengann pembangkang dalam PRU 13. Amat buntu, hampir tiada jalan keluar.

Ini adalah sehingga saat sekarang ini, orang-orang UMNO masih gagal melihat keluar diri masing-masing, masih melihat mereka sebuah parti yang kuat sedangkan mereka tahu keadaan yang sebenarnya sedang mereka hadapi. Namun, mereka dengan rela menyapu perasaan gelisah dan gementar mereka itu di bawah permaidani indah dengan anggapan dan angan-angan kosong bahawa semua ini akan berkekalan.

Orang-orang Melayu tetap merasa anak cucu mereka dan orang Melayu keseluruhannya akan terus mendapat bantuan kerajaan, kata mereka tanpa segan silu, walaupun mereka sedang melihat dan membaca laporan pelbagai sumber dari dalam dan luar negara mengenai kemaraan pelbagai NGO dengan desakan yang macam-macam: meritokrasi, hak asasi manusia dan liberalisasi dalam semua sektor. Dengan hilang kerusi Melayu, semua ini akan tinggal debu.

Jadi, apakah ada jalan penyelesaian kepada kebuntuan yang maha buntu ini? Ada, malangnya jawapannya hanya satu. Perpaduan UMNO-PAS.

Sebelum ini mereka pernah bersatu pada pilihanraya 1974, keputusannya sebagaimana dijangka amat berhasil. 100 peratus kerusi yang ditandingi UMNO dan PAS menang. Namun, kejadian selepasnya daj jadi sejarah, PAS dakwa mereka mendapat layanan yang tidak adil, mereka cuma diberi jawatan menteri yang menjaga hal ehwal tanah ladang.

Kita sedang melihat bahawa kedua-dua parti Melayu ini sedang berantakan. Kedua-duaya sedang bergaduah inter dan intra parti. PAS dengan krisis dalamannya antara kumpulan pro perpaduan dengan anti perpaduan, manakala UMNO bergaduh dengan masalah isi perut ahli-ahlinya.

Sudah sampai masanya kedua-dua pihak berkorban. PAS sepatutnya diberikan jawatan yang cukup tinggi, TPM, sesuai dengan pengorbanan yang bakal mereka buat. Hadi akan diberikan jawatan itu, dengan kedudukan beliau sebagai Presiden parti. Belum tentu Hadi akan mendapat jawatan itu jika PAS bergelut dalam PR.

Hadi juga akan dinobatkan sebagai hero Melayu. Sebagaimana yang ditulis Astora Jabat, walaupun Hadi tak suka istilah nasionalis, tetapi orang Melayu akan terhutang budi kepadanya, dan beliau akan dikenang dalam lipatan sejarah yang kekal sebagai penyelamat ulung umat Melayu sekurang-kurangnya pada masa ini, mungkin juga buat selama-lamanya sebagai seorang nasionalis unggul. Dan saya juga, jika menjadi Perdana Menteri akan maafkan semua dosa masa lalu Hadi.

Mungkin juga pada masa itu nama tidak penting lagi... apa ada pada nama. Nama UMNO, PAS mungkin juga sudah tidak penting. Parti hanya alat, sebab yang penting adalah tujuan. Parti hanya kenderaan, yang penting destinasinya.

05 July, 2010

SOKONGAN CINA: JIKA GAGAL PUJUK, GUNA CAMETI

Oleh Kori Ariff
Ahli KPPM

PILIHAN RAYA Umum 2008 dan siri beberapa pilihan raya kecil seperti di Hulu Selangor dan Sibu baru-baru ini menyaksikan salah satu sebab kekalahan Barisan Nasional (BN) ialah kaum Cina memberi satu isyarat dengan merotan BN khususnya parti komponen MCA dan Gerakan agar mereka tidak sesekali bersekongkol dengan "kuasa" UMNO.

Sama ada betul atau tidak persekongkolan itu telah berlaku belum ada kepastian dalam realiti, cuma persepsi telah disebarkan sebegitu rupa melalui pelbagai saluran seperti media berbahasa Cina, internet malah melalui ceramah atau kempen politik yang diketuai oleh DAP dan kaum Cina dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimana modus operandi pembaraan benih kebencian supaya percikan sentiasa menyalakan rasa kebencian dalam diri kebanyakan kaum Cina kepada BN/UMNO/Orang Melayu?

Orang Melayu khususnya di kalangan pemimpin dipersepsikan sebagai mahu mewujudkan ketuanan Melayu dengan definisi menghambakan kaum lain seperti Hitler menggunakan konsep ketuanan orang Jerman dalam menindas kaum minoriti, orang Yahudi (dalam konsep ini dikatakan Melayu akan sentiasa berusaha menghapuskan kaum minoriti Cina).

Persepsi ini walaupun tidak benar dalam realiti tetapi secara berterusan ditanam agar orang Cina mestilah sentiasa berwaspada kepada orang Melayu, khususnya kepada UMNO terutama jika mereka dalam keadaan kuat, iaitu ketika kaum Melayu bersatu.

Semakin berpecah orang Melayu kepada PAS dan PKR, semakin lemahlah UMNO, semakin kurang kuatnya dalam Barisan Nasional, maka semakin baik kedudukan orang Cina dalam negara ini, terutamanya dalam segi kelulusan terhadap beberapa desakannya (seperti tergambar dalam tuntutan Suqiu dalam Pilihan Raya Umum 1999).

Sedangkan konsep ketuanan Melayu kepada kepada kebanyakan orang Melayu ialah Raja Melayu. Sesiapa sahaja yang mahu menjadi warga negara ini perlu menghormati Raja Melayu, seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Jika ada orang Cina atau orang Melayu tidak mahu menerima konsep ketuanan Melayu iaitu menghormati Raja Melayu seperti juga Raja Berperlembagaan, maka tidak sewajarnya mereka memilih untuk menjadi rakyat negara ini.

Yang diwar-warkan terutama dalam usaha mempropagandakan isu ini, adalah dengan mengaitkan UMNO atau badan kerajaan lain seperti Biro Tatanegara (BTN) sebagai pihak yang mahu merealitikan ketuanan Melayu dalam ertikata Hitler menindas kaum minoriti.

Sesetengah pemimpin UMNO yang sudah `dibeli’ oleh kumpulan ini, akan dengan sengaja membuat kenyataan beretorik ‘Keris Melayu’, Melayu mesti menjadi Tuan dan secara tanpa sedar mengiyakan jarum propaganda ini – orang Cina menjadi semakin marah dengan UMNO, marah dengan pemimpin Melayu.

Sama juga dengan laungan DEB (Dasar Ekonomi Baru).

Kaum Cina rata-rata menganggap DEB untuk menjayakan konsep ketuanan Melayu di negara ini, walaupun idea Tun Razak untuk memulihkan keadaan ekonomi yang sangat berasaskan kaum, sehingga jika dibiarkan akan berulangnya trajedi 13 Mei.

Ramai juga di kalangan pemimpin Melayu dan badan bukan kerajaan seperti Perkasa anjuran Datuk Ibrahim Ali terbawa-bawa dengan laungan DEB, sedangkan DEB sudahpun tamat pada 1990 dan diganti dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan kini Model Ekonomi Baru (MEB) seperti tergambar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang perlu diperjuangan sekarang bukannya DEB tetapi ketidakseimbangan ekonomi dalam negara terutama di kalangan kaum India dan Melayu, yang jika diukur melalui pendapatan perkapita menunjukkan begitu jauh jurang perbezaan dengan kaum Cina.

Selain itu, turut menjadi pemangkin pemanas kepada kebencian orang Cina kepada kerajaan adalah dengan meracuni fikiran kaumnya bahawa kerajaan tidak memberi layanan yang adil kepada sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Selalu diceritakan dalam Dewan Rakyat, blog dan media berbahasa Cina betapa kerajaan hanya memberi dana kepada sekolah kebangsaan supaya orang Cina berpindah ke sekolah kebangsaan. Dalam masa sama, mereka berusaha menanam dalam diri setiap kaum Cina betapa SRJKC seperti tokong, yang tak boleh diusik sesiapa.

NGO kaum Cina seperti Dong Jia Zhong atau Dewan Perniagaan Cina terus dinobatkan sebagai pejuang utama kaum Cina seolah-olah mewakili Tuhan bagi melindungi kepentingan kaum Cina di negara ini. Oleh sebab digambarkan sebagai seolah-olah Tuhan, maka MCA, Gerakan, PKR dan DAP tidak sekali-kali berani mengkritik pertubuhan ini.

Demikian juga kerana pertubuhan ini begitu negatif kepada UMNO, maka MCA/Gerakan/PKR/DAP turut sama tidak mahu bersekongkol dengan UMNO atau kelihatan bersahabat dengan UMNO.

Walaupun ada pelbagai sebab lain boleh dikemukakan, namun yang menarik untuk dicari idea adalah bagaimana untuk memungkinkan orang Cina sekurang-kurangnya pada tahap 55 peratus menyokong Barisan Nasional.

· Pendekatan `memberi’ kelihatan tidak lagi berkesan. Beri sekolah. Beri dana baiki sekolah. Layan segala permintaan tidak menjanjikan persahabatan, malah digigitnya seperti terpancar di sibu, Hulu Selangor dan Pilihan Raya 2008. Sekolah Cina dilayan dengan peruntukan. Peperiksaan yang menggunakan penilaian sendiri dan dikendalikan dalam bahasa mandarin, UEC semakin diiktiraf. Dalam pilihan raya 1999 ketika kegawatan politik, dan MCA/Gerakan menyatakan merekalah penyumbang kepada kemenangan BN, lalu diminta lebih jawatan Menteri dan kalau boleh Timbalan Perdana Menteri di kalangan mereka, Dr Mahathir ketika itu bukan sahaja tidak melayan permintaan itu, malah melantik lebih ramai menteri Kabinet di kalangan orang Melayu.

· Di negeri yang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, kebanyakan orang Cina tidaklah terlalu fanatik kepada SRJKC. Mereka bergaul dengan orang Melayu. Bersahabat. Menghormati antara satu sama lain. Malah, jika sejarah dilihat lebih awal ketika orang Cina miskin dan orang Melayu lebih dalam keadaan berada, banyak anak-anak Cina diserahkan kepada ibu bapa Melayu untuk menjaganya. Dan, orang Melayu menjaga seperti anak kandung sendiri. Dua inferen boleh dilihat. Satunya, orang Melayu mesti majoriti dalam sesuatu geografi. Kedua, orang Melayu mesti kaya. Dalam hal kedua itu, kita boleh saksikan sesetengah korporat seperti anak Tun Dr Mahathir, Mirzan berkahwin dengan orang Cina. Apakah ada gadis Cina yang memilih lelaki Melayu miskin?

· Dalam tradisi Islam awal di Kota Makkah, kaum Muslimim lebih dekat persahabatan dengan kaum Nasrani, berbanding dengan kaum Yahudi. Sejarah mencatatkan kaum Yahudi merupakan kaum yang merdeka dari segi harta. Mereka sudah kaya. Orang kaya tidak mahu berkawan dengan orang miskin. Jika sejarah ini mahu diambil iktibar, maka kaum Melayu mesti berusaha untuk bersama-sama dengan kaum India yang merupakan dua kumpulan etnik yang miskin. Dalam sejarah sembilan Sekolah Wawasan iaitu gabungan sekolah kebangsaan, Cina dan India, hanya satu sahaja sekolah Cina yang mahu bergabung. Namun, sekolah Tamil bersetuju untuk bergabung. Langkah politik perlu dilaksanakan untuk menjayakan hasrat ini, jika mahu.

· Pergantungan. Bagaimana untuk memungkinkan kaum Cina bergantung harap dengan kaum Melayu/pemimpin Melayu terutama dalam bidang ekonomi. Yang berlaku kini kebanyakan pemimpin Melayu UMNO (dan PAS juga) bergantung dengan dana orang Cina untuk sesuatu perniagaan. Ali mendapat kontrak, baba memberi komisen kepada Ali. Oleh itu, tokoh yang boleh menjayakan hasrat ini ialah Tun Daim Zainuddin. Jika ada 50 lagi Tun Daim dalam negara ini, maka barangkali tauke Cina tidaklah lagi begitu angkuh.

· Penjinak kuda menggunakan strategi gosok belakang, pujuk dan bermanja dengan kuda agar kuda itu jinak. Namun, penjaga kuda yang arif akan menggunakan cameti, jika kuda tidak juga jinak walaupun digosok pada kaki, pipi dan belakangnya. Ini bermakna, jika pujuk dan rayu sudah tidak berkesan, maka cameti perlu digunakan. Lee Kuan Yew di Singapura banyak kali menggunakan kaedah ini dalam pentadbirannya.

19 June, 2010

PTPTN: BAKAL MUFLIS

Oleh Nuralam Akbar

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebuah agensi kerajaan yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, dijangka muflis tidak lama lagi.

Artikel ini belum bercadang mengemukakan analisis data statistik, cuma setakat ini membuat lontaran awal kerana PTPTN merupakan agensi yang begitu banyak memberi manfaat kepada kebanyakan pelajar, tidak kira Melayu, Cina, India atau Orang Asli yang relatifnya miskin.

Anak orang kaya mungkin tidak menerima budi PTPTN.

Artikel ini juga tidak bertujuan mengkritik PTPTN. Tetapi, bertujuan sebagai bahan renungan untuk kerajaan dan pelajar kerana PTPTN juga milik generasi akan datang. Nasib anak bangsa kita.

Ada beberapa sebab yang hampir tidak dapat dielakkan untuk PTPTN tidak lagi berkemampuan memberi pinjaman kepada anak-anak kita di universiti pada masa akan datang.

Pada hemat saya atas pembacaan dan pengamatan, mungkin saya salah, tiga sebab utama yang akan memufliskan PTPTN.

1. Dahulu PTPTN mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4 peratus kepada pelajar kerana nilai wang tidak statik. RM20,000 hari ini tidak sama nilainya dengan RM20,000 dalam 20 tahun akan datang. Sebagai sebuah perbadanan, PTPTN perlu emnjana duit sendiri untuk membayar gaji, sewa bangunan dan lain-lain perbelanjaan. Jika ada caj 4 peratus caj perkhidmatan pinjaman itu, bolehlah sedikit dibiayai perbelanjaan berkenaan. Malah, jika diandaikan PTPTN itu Bank Islam, apakah bank berkenaan tidak mengenakan sebarang caj atas perkhidmatan?

Atas desakan pelajar dan parti politik, kerajaan telah mengarahkan PTPTN untuk tidak lagi mengenakan caj perkhidmatan.

2. Mengikut berita yang disiarkan dari semasa ke semasa, kutipan balik PTPTN tidak selari dengan jumlah yang dikeluarkan. Di manakah PTPTN akan mendapatkan dana untuk terus memberi pinjaman? Dimaklumkan sekarang PTPTN meminjam dana dari KWSP yang juga turut mengenakan caj tertentu kepada PTPTN. Walaupun ianya seperti soft loan, tetapi KWSP juga bertanggungjawab terhadap dana berkenaan untuk dilaburkan pada tempat yang boleh mendatangkan keuntungan kepada pencarum. Soal kedua, sehingga bila dan sehingga berapa puluh bilion KWSP terpaksa memberi pinjaman kepada PTPTN? Sebaik sahaja KWSP memberhentikan pinjaman, maka akan bermulalah saat genting PTPTN untuk muflis.

3. Dasar kerajaan Datuk Seri Najib yang membiasiswakan pinjaman PTPTN jika mendapat kelas pertama, akan menyebabkan dana PTPTN semakin menjunam. Dasar ini, pada hemat saya, kurang bijak. Kenapa? Kajian pengesanan graduat mendapati pelajar kelas pertama mudah mendapat kerja berbanding dengan pelajar corot. Ini bermakna pelajar corot bukan sahaja tidak boleh membayar PTPTN, malah sedang bergelumang mencari kerja. Sedangkan, pelajar kelas pertama bukan sahaja mendapat kerja yang sesuai, gaji yang sesuai dengan kelayakan, tetapi tidak pula perlu membayar PTPTN. Jika dasar ini diteruskan, lambat laun PTPTN akan muflis.

17 May, 2010

POLA SOKONGAN ORANG CINA - Peranan Tun Daim

Nuralam Akbar

MENGKAJI pola pemikiran dan undi orang Cina tidaklah sukar.

Tinjauan perlu dilihat dari aspek sejarah, cara berfikir, cara bertindak berasaskan suasana semasa, khususnya dalam perkiraan untung-rugi.

Mana untung mengundi BN berbanding dengan parti tulen memperjuangkan kepentingan kaum Cina, DAP?

Kepada kaum Cina, tentunya dipropagandakan oleh parti politik, mengundi/menyokong BN tidak menguntungkan kaum Cina dalam perniagaan dan pendidikan, berbanding dengan mempunyai sebuah parti Cina yang kuat.

Untuk melemahkan BN, MCA dan Gerakan perlu dilemahkan.

MCA dan Gerakan dilihat sebagai kumpulan yang terlalu akur dengan UMNO. Dan, ini juga dipropagandakan. Dengan demikian, MCA dan Gerakan akan bertindak lebih `ganas' untuk menunjukkan parti memperjuangkan kaum Cina.

Kepada orang Melayu UMNO terlalu takut kepada undi orang Cina. Lalu, pemimpin UMNO yang ditugaskan menerajui negara begitu akur dengan kehendak kaum Cina. Segala kehendak dan tuntutan ditunaikan. Apakah ini stratgi yang baik untuk memancing undi Cina?

Sedangkan jelas dalam pilihan raya umum, Hulu Selangor dan semalam di Sibu, pola pengundi Cina makin menyerlah.

"Calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi. Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi, Hui Yew memperoleh 18,447 manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak."

Mari kita melihat pola/kelakuan kaum Cina.

1. Mereka akan ber`asimilasi' dengan kaum majoriti, jika bilangan mereka kecil dalam sesuatu kawasan. Theory of survival. Di bandar Kota Bharu, Alor Star, Kuala Terengganu - mereka bergaul dengan penduduk majoriti. Bercakap dalam bahasa loghat. Tidak memperlihatkan kecinaan. Hormat orang lain. Orang Melayu pun senang dengan mereka.

2. Dalam evolusi perkara pertama itu, mereka akan bergerak membentuk kawasan atau bandar baru Cina (ala ciptaan komunis). Kediaman juga dikumpulkan dengan hanya satu kaum. Dewan Perniagaan didirikan. Sekolah Cina diwujudkan.

Kekuatan mereka makin bertambah. Dalam masa ini, dan sedang atau akan berlaku di Kota Bharu, Alor Star, Terengganu seperti telahpun terjadi di Kuala Lumpur, Batu Pahat hatta ke Sibu, mereka tidak lagi bergantung kepada orang Melayu. Sama ada orang Melayu emmbeli barangan mereka atau tridak, mereka sudah boleh sendiri survive.

Pemimpin UMNO seperti Najib, Muhyiddin dan banyak lagi Menteri Kabinet masih meletakkan kaum Cina dalam kategori pertama. Inilah sebab walaupun dijanjikan apa sahaja dan diberikan apa saja, mereka boleh survive.

Tidak mengundi BN tidak merugikan mereka, malah menguntungkan kerana kerajaan 'bergantung' kepada undi mereka.

Keyword kepada huraian ini ialah pergantungan. Bagaimana untuk memungkinkan orang Cina bergantung kepada kerajaan/orang Melayu/Majoriti?

Ubat kepada perkara ini ialah EKONOMI/KEKAYAAN.

Kerajaan perlu tangkas mempercepatkan proses untuk mewujudkan lebih ramai orang kaya Melayu/usahawan tulen yang handal.

Orang yang boleh melakukan ini ialah Tun Daim Zainuddin.

Jika Najib/Muhyiddin mahu memulih dan mahu meletakkan martabat Melayu di negara ini, ajak kembali Tun Daim dan paling tidak sebagai Menteri Kanan, yang KPI-nya mewujudkan 5,000 usahawan jutawan dalam tempoh tiga tahun.

12 May, 2010

Menulis Berita Piala Dunia

oleh Haidi Mohamad

Tahun itu tahun 1974, 7 Julai. Belanda tewas kepada Jerman. Perlawanan akhir penuh dramatik dengan keindahan ‘Total Football’ bolasepak Belanda, Johan Cruyff dan kekuatan Jerman, Franz Beckenbauer.

Fesyen rambut sama ada di atas padang atau di kerusi penonton majoritinya rock. Jauh sekali kemas, ia dibiarkan saja lepas-bebas ditiup arah mana angin datang. Manakala bentuk susuk mereka yang sedang berlari mengejar bola nampak lebih atletik, lebih ringan berbanding sekarang. Mungkin amalan keras untuk membina otot-otot tidak seseketara sekarang.

Kepada sesiapa yang berminat menyaksikan kembali perlawanan itu boleh saja menonton melalui tube-tube popular di internet atau saluran TV berbayar. TV ini mengambil peluang memungut wang daripada sebahagian kelompok masyarakat yang masih tidak tahu tayangan itu boleh diperolehi secara percuma.

Sebaik selesai perlawanan dan selesai pasukan Jerman meraikan kemenangan, ada sekelompok manusia yang masih khusuk bekerja dengan setiap seorang daripadanya sedang mengadap sebuah mesin.

Mesin itu ialah mesin taip. Kelompok manusia tadi ialah wartawan.

( Hari ini pertanyaan, “mesin taip itu apa ayah?”, boleh saja muncul daripada seorang anak berusia 7 tahun. Manakala menjadi seorang wartawan bukan satu impian yang popular di sini)

Mereka sedang mengetuk hurur-huruf untuk menghasilkan berita tentang perlawanan tadi, atau sedang menaip analisis perlawanan (melibatkan pemikiran). Berita itu kemudiannya akan dicetak dan menjadi akhbar. Sebaik menjadi akhbar, satu kitaran kerja dikira selesai.

Sebelum tarikh haribulan bertukar, pada dekad itu kandungan berita itu tidak dapat dibaca oleh masyarakat pembaca. Bila fajar pagi terbit, baharulah ia boleh dibaca.

Dengan munculnya hari yang baru – bermula dengan pagi baru menggantikan pagi semalam, maklumat dan analisis pemikiran juga mengambil tempat sama. Pada pagi 8 Julai 1974, berita kekalahan Belanda dan kemenangan Jerman terpampang-pampang di dada akhbar. Analisis-analisis kenapa kemenangan berpihak kepada Jerman dan kenapa pula kekalahan menjadi milik Belanda mengetuk kapasiti intelek masyarakat pembaca.

Tidak sampai 30 hari dari sekarang, Piala Dunia akan kembali mewarna kehidupan. Penduduk dunia akan memusatkan perhatian mereka ke Afrika Selatan. Berita politik, berita ekonomi, berita perang malah mungkin kata kunci ‘seks’ di enjin carian google akan berada di belakang kata kunci ‘World Cup’ atau apa-apa perkataan yang berkaitan dengan bolasepak.

Seperti di tahun 1974, fungsi wartawan tidak berubah. Mereka akan merakam visual perlawanan, menulis berita tentangnya dan membina analisis. Perkara yang berubah ialah bukan lagi mesin taip yang akan mencetak huruf-huruf di kertas. Bunyi ketukan mesin taip bukan lagi bunyi di stadium selepas selesai perlawanan.

Mereka menulis dengan komputer. Jari-jemari wartawan mengetuk huruf-huruf di keyboard. Ia tidak berbunyi. Senario ini telah berlangsung di dekad 90-an lagi. Jika diambil kira komputer mula digunakan wartawan sukan pada Piala Dunia tahun 1990 di Itali, maka Piala Dunia 2010 menandakan sudah dua dekad ketukan mesin taip tidak lagi kedengaran di kalangan wartawan di stadium.

Imej-imej wartawan di Olympiastadion, Munich pada 1974 tentu tidak akan berulang lagi di Piala Dunia 2010 Afrika Selatan. Dengan rokok di jari dan dengan jari lain sedang mengetuk huruf sudah menjadi imej klasik.

06 May, 2010

Lantik Tun Daim Zainuddin Sebagai Perdana Menteri

Oleh Nuralam Akbar


USIA Tun Daim Zainuddin kini 71 tahun.

Beliau dua kali bersara dari Kabinet. Sebelum memasuki Kabinet, Daim merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sebagai seorang ahli perniagaan, otaknya ligat. Tenaganya kuat. Fikirannya selalu memantau pergerakan ekonomi-politik dunia.

Kini beliau banyak terlibat dalam perbankan. Ruang perniagaannya bukan hanya lagi mengkhusus dalam negara, bahkan di banyak negara - Afrika, Amerika Latin dan kerana perniagaan tidak mempunyai sempadan geografi, empayar perniagaannya luas. Beliau seorang yang berstrategis - mana mungkin ahli perniagaan boleh berjaya tanpa mempunyai kemahiran luar biasa dalam berstrategi?

Daim bukan seorang yang beretorik (biasa orang bercakap, orang pandai bercakap tidak pandai buat kerja!).

Kepemimpinan atau faktor pemimpin memainkan peranan maksimum penting sama ada maju atau mundur negara dalam tahun mendatang. Berbanding dengan sesetengah pihak yang ingin menjadikan politik sebagai kerjaya untuk mendapatkan pendapatan, Daim tidak mempunyai fikiran seperti itu. Dalam usianya kini, apa yang difikirkan, ialah satyu perkara: NEGARA.

Pengalamannya dalam politik dan perniagaan melangkaui zaman Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hampir separuh kebijaksanaan Tun Razak ada dalam dirinya.

Ah, mana mungkin beliau jadi Perdana Menteri Malaysia? Beliau tidak berminat dengan politik. Beliau tak ada jawatan di peringkat akar umbi, cawangan/bahagian UMNO. Mana mungkin ini boleh menjadi kenyataan?

Beberapa pilihan yang ada untuk memungkinkan ini berjaya.

1. Datuk Seri Najib Tun Razak melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Muhyiddin berkorban demi melihat negara ini maju, dan suka rela memberikan jawatan itu kepada Daim.

2. Najib kemudiannya berundur untuk memberi laluan kepada tokoh luar biasa ini untuk meluarbiasakan Malaysia ini.

3. Orang ramai perlu diyakinkan selepas Tun Dr Mahathir, hampir tiada tokoh sehebat Daim.

4. Gerakan perlu dilakukan untuk menjayakan perkara 3. diatas - seperti pertolongan PERKASA untuk mejayakan matlamat ini. Gerakan ini mesti besar sebesar tsunami untuk menggerakkan sesuatu yang besar dan agenda menyelamatkan negara ini.

Ada beberapa sebab lain yang akan dikemukakan dalam siri akan datang mengenai tajuk ini.